‘Tiada batas, boleh jumpa anak seberapa banyak pun’ 

TIADA siapa mahu berkahwin untuk berpisah, begitu juga dengan pelakon Indonesia, Aditya Zoni yang bergelar duda pada usia 24 tahun.

Setelah tiga tahun berkahwin dengan pempengaruh dan model Malaysia, Yasmine Ow, mereka akhirnya membawa haluan masing-masing pada 24 September tahun lalu.

Setahun kemudian, pemilik nama sebenar Muhammad Aditya Warman mengakui masih solo meski bekas isteri sudah bertemu pasangan hidup baharu dan kini hamil anak kedua.

“Saya sekarang masih ‘single’ (solo) tetapi hubungan dengan bekas isteri alhamdulillah baik-baik saja.

Biasanya saya datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa anak sebab dia selalu berada di sini.

“Tapi sekarang Yasmine sedang hamil, jadi dia tak boleh terbang ke Kuala Lumpur dan saya perlu ke Sabah untuk berjumpa anak,” katanya kepada HibGlam.

Meskipun berjauhan dengan anak, Aditya mendedahkan hubungan mereka dalam keadaan baik dan selalu berkomunikasi.

“Setakat ini perjumpaan saya dengan anak tiada batas, saya boleh jumpa seberapa banyak pun.

Tapi anak masih kecil, baru berusia tiga tahun. Dia masih perlukan perlindungan seorang ibu.

“Hubungan saya dengan anak baik-baik saja, kerap juga ‘video call’,” ujarnya pada majlis tayangan filem Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai baru-baru ini.

ADITYA bersama sutradara Menjelang Magrib 2, Helfi Kardit (tengah) ketika sidang media dan tayangan filem itu baru-baru ini.

Mengulas mengenai filem seram pertama lakonannya itu, Aditya memegang peranan utama sebagai Giandra

Alhamdulillah, seronok sekali dan bersyukur karya yang kami bikin di negara sendiri akhirnya dihargai di negara orang.

“Saya juga rasa bangga memandangkan ini kali pertama hadir untuk mempromosikan filem ini di Malaysia,” jelasnya.

Rendam dalam darah

Berkongsi lanjut, dia memaklumkan berhadapan beberapa cabaran termasuk menjayakan adegan ekstrem dalam keadaan cuaca sejuk.

“Antara cabarannya, saya perlu terjun dalam lautan darah, memang sangat sejuk.

Ketika itu mungkin suhunya sekitar 12 hingga 13 darjah celsius sebab menjalani penggambaran berdekatan pegunungan.

“Selepas itu saya perlu berenang dalam air yang seakan-akan darah, memang sangat mencabar.

“Selain itu, saya perlu berbahasa Belanda dalam filem ini. Dua minggu saya belajar menguasai bahasa ini untuk beberapa babak,” jelasnya.

BERDEPAN banyak cabaran, Aditya bersyukur menjadi sebahagian daripada filem Menjelang Maghrib 2 yang membuka peluang dirinya dikenali di Malaysia.

Meskipun berat, Aditya bersyukur dapat melunaskan beberapa babak aksi tanpa bantuan pelakon lagak ngeri kerana mempunyai asas dalam seni pertahankan diri.

“Untuk pengetahuan semua, babak jatuh berguling tidak pakai ‘stunt’. Saya sendiri yang lakukan.

“Alhamdulillah tiada kecederaan kerana saya memang dari keluarga yang amalkan seni pertahanan diri iaitu silat.

“Jadi sudah tahu macam mana nak kawal sekiranya terjatuh dan sebagainya,” tutupnya.

Menjelang Magrib 2: Wanita yang Dirantai arahan Helfi Kardit ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 20 November lalu.

Sekual filem Menjelang Maghrib terbitan Helroad Films yang pernah menjadi fenomena pada 2022 itu masih mengangkat tema kisah trauma wanita dipasung.

Berlatabelakangkan tahun 1920, filem itu turut dibintangi Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok