‘Susah didekati, lelaki rasa saya bijak, tak boleh kelentong’ 

REZEKI tidak pernah tersasar haluan. Frasa keramat terasa begitu tepat menggambarkan perjalanan seni si tinggi lampai, Shaza Bae, bintang muda yang kini bersinar meskipun perlu meniti laluan penuh duri.

Permulaannya tidak sepantas rakan seangkatan, namun apabila titik peluh yang ditabur mula dipandang, rezeki hadir bagai hujan rahmat.

Sedikit demi sedikit, namanya memacak kukuh selepas muncul dalam Dewi Remaja 2019/2020, seterusnya menapak sebagai pelakon tambahan sebelum meledak menerusi drama Aku Bukan Ustazah dan Takdir Cinta Terlarang.

Sekilas pandang, segalanya tampak lancar tetapi realiti di belakang tabir jauh lebih getir.

Dalam pertemuan empat mata, sisi gelap pendakian karier wanita itu dan ditelusuri tanpa banyak pintu-pintu ditutup, dia mengakui pernah menjadi mangsa buli industri.

“Sejujurnya pernah. Saya macam orang biasa juga, seperti artis baharu lain juga. Kalau bercakap soal buli dalam industri, tak payah cakaplah, memang banyak.

Contohnya semasa berlakon atau mengacara, mungkin ada yang tak suka cara kerja saya dan pastinya akan ditegur dan diperbetulkan cumanya cara mereka itu sangat kasar sampai saya rasa kecil betul dibuatnya.

“Apabila difikirkan balik, mengapa mereka nak buat begitu terhadap orang baharu? Itu suasana tidak sihat. Sangat toksik, kita boleh mendidik dengan kebaikan, bukan dengan kekasaran,” katanya kepada HibGlam.

BUKAN mudah, Shaza mengakui pernah berdepan situasi dibuli orang industri sewaktu awal kemunculannya dahulu. – Solekan AMY UMI

Meskipun penat meniti laluan penuh air mata, pemilik nama sebenar Shaza Nuriman Mohamad Zamri itu memilih untuk melihat setiap luka sebagai hikmah demi bertahan dalam industri.

“Tapi alhamdulillah, sebab saya jenis ‘proper’ dan mempunyai prinsip tersendiri. Saya tak anggap itu buli. Saya anggap cabaran untuk jadi lebih baik.

Saya telan, ambil pengajaran dan pastikan tak ulang perkara sama kepada orang lain. Saya akui tegas itu perlu, tetapi jangan sampai membuli.

“Orang nampak macam teguran tapi kalau saya cerita tentang apa saya lalui kepada orang, mesti mereka cakap, ‘ini memang buli’. Tapi saya anggap cabaran sebab saya serius dalam industri. Saya nak buktikan kepada semua orang, saya tak main-main. Saya di sini untuk kekal, “ ujarnya.

Ditanya sama ada situasi toksik sebegitu sudah menjadi satu ‘tol’ wajib untuk artis baharu, Shaza menegaskan perjalanan setiap orang berbeza.

“Saya tak boleh cakap untuk semua. Itu pengalaman saya. Mungkin ada orang lalui pengalaman yang okey. Rezeki orang tak sama.

Tapi apa pun yang jadi kepada seseorang, baik atau buruk, semua itu hadir untuk mengajar. Saya dengar macam-macam cerita, tak semuanya pahit. Ada yang senang naik. Itu rezeki mereka. Sebagai orang Islam, saya percaya semua berlaku dengan izin Allah,” luahnya.

Lelaki tak suka wanita bijak!

Melencongkan perbualan ke sisi peribadi, sempat juga soal cinta hatinya yang jarang dipamerkan dalam sosial media mengisi perbualan.

SUKA belajar dan minat mencari ilmu, Shaza sudah mempunyai rancangan tersendiri untuk masa depannya, baik pendidikan mahupun hala tuju karier. – Busana VARIANTE

Tersenyum lebar, wanita berusia 30 tahun itu mengakui masih solo, malah merasakan dirinya belum benar-benar bertemu lelaki yang sesuai dan sekufu dengan junjungan prinsipnya.

“Saya sangat disiplin. Saya bangun pagi, solat, joging dan tahu apa saya nak. Saya juga ada duit dan simpanan sendiri jadi agak sukar nak cari kualiti lelaki yang sama pemikiran dengan saya pada zaman ini.

Barangkali lelaki rasa mereka tak mampu nak ‘date’ saya. Susah nak dekati. Bukan soal kewangan pun tapi sebagai individu, mereka rasa, ‘alamak, bijak dia ni, tak boleh kelentong’. Mungkin kualiti orang macam saya jarang ada dalam perhatian kaum lelaki, kalau ada sikit sangat.

“Kalau bercakap soal ciri-ciri. Semua orang nak lelaki ‘provider’, tapi bagi saya yang paling penting adalah beragama dan bertanggungjawab.

“Kalau faham agama, automatik dia bertanggungjawab sebagai suami,” tuturnya.

Dalam pada rancak berbicara, Shaza termenung saat hal paling sensitif dalam hidupnya dibualkan.

Saya membesar dalam keluarga ‘broken home’. Nak kahwin jadi takut, takut sangat. Siapa tak nak dicintai, mencintai, ada keluarga, ada anak? Semua orang nak.

“Tapi dengan kerjaya saya, dengan zaman yang menakutkan sekarang, saya tak letak target. Tapi Allah lebih mengetahui. Saya serahkan semua kepada Dia.

“Sekarang saya sangat menikmati hidup single. Sebab itulah saya tak mencari. Saya selesa dengan kehidupan solo. Duduk seorang diri. Jaga ibu ayah, adik-beradik dan travel ke luar negara tanpa komitmen,” tuturnya.

CEO Finas

Kerap kali melabelkan dirinya sebagai wanita bijak dan berprinsip, penulis mengusik pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Universiti Malaya (UM) itu tentang agenda masa depannya. Tentang cita-cita lain yang mahu digapai selain berjaya dalam lakonan.

SIAPA sangka, dalam diam Shaza menyimpan impian bergelar Ketua Pengarah Eksekutif Finas. – Penata Gaya NANACHAH & AINA BAKRI

Tidak menunggu lama, Shaza segera membuka helaian impian yang tersimpan kemas dalam hati.

Satu hari nanti, apabila saya dah stabil dalam bidang seni, memang saya nak kembali sambung belajar. Sebenarnya pun sekarang saya tengah fikir nak ambil master atau PhD, cuma masa belum mengizinkan.

“Saya tak mahu terburu-buru dan buat kerja separuh hati. Saya nak buat dengan penuh keikhlasan tapi kalau diikutkan, saya tak pernah tinggalkan pendidikan. Bila tak shooting atau tak berlakon, saya membaca. Saya pergi kelas.

“Semua bentuk ilmu saya ambil. Saya suka dengar audio siar sebab banyak benda saya belajar daripada situ.”

Namun apa mengejutkan, impian anak jati Kuala Lumpur itu yang jauh lebih besar daripada sekadar tahap akademik.

Insya-Allah, apabila saya dah ‘pursue’ semua tu, dengan pengalaman cukup, saya boleh jadi CEO Finas (Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional). Mungkin dalam masa 10 tahun lagi. Saya rasa industri perlukan sentuhan wanita untuk mewarnai dunia seni.

“Selain itu, saya suka mengajar. Mengajar macam satu jihad. Macam kita kongsi apa yang kita ada. Nanti di akhirat, Allah tanya, ‘apa ilmu yang kamu ada, dan apa kamu buat dengan ilmu itu?’ Kita tak boleh jawab kalau kita simpan sahaja.”

“Siapa kata industri tak perlukan pendidikan atau pendidikan seni? Perlu. Ramai sahaja orang dalam industri yang ada latar belakang pendidikan seni dan mereka buat kerja baik dan banyak sumbangan pada industri,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok