‘Sembilan hari tak berhubung, mungkin khusyuk umrah sampai terlupa umi’

SUDAH sembilan hari tidak bertemu, pelakon Shakilla Khoriri meluahkan rasa rindu terhadap anak tunggalnya, Ameena Sofia yang kini berada di Tanah Suci bersama bekas suami, Fizi Ali untuk menunaikan umrah.

Meskipun tidak dihubungi baik anak mahupun bekas suami, Shakilla atau nama sebenarnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 36, tidak berkecil hati, sebaliknya bersangka baik barangkali puteri kesayangannya itu sedang memberi tumpuan penuh terhadap ibadah.

“Hari ini masuk sembilan hari tak dengar khabar. Mungkin anak umi terlalu khusyuk menunaikan umrah sampai terlupa umi.

“Tapi umi tak marah. Bukannya tak boleh bertanya, cuma umi sentiasa berharap anak sendiri belajar untuk hubungi umi, apa-apa hal pun, ibu tetap tempat rujukan,” katanya dalam Instagram.

Enggan menyalahkan sesiapa, pelakon Impian Lara itu mengakui mungkin dirinya belum cukup menekankan peranan ibu dalam kehidupan Ameena.

“Mungkin umi kurang ajar tentang pentingnya ibu dalam hidup anak. Mungkin juga Ameena masih kecil untuk faham semua itu. Tapi Ameena tetap anak terbaik umi.

“Satu-satunya anak umi dunia akhirat, umi tak akan berkecil hati sebab umi tahu semuanya. Semoga Ameena selamat sampai rumah nanti. Umi tunggu awak,” jelasnya.

Ruangan komen hantaran tersebut turut dihujani pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya memahami kerinduan seorang ibu.

“Normallah budak pergi umrah, kadang sibuk dengan aktiviti. Jangan sedih, Shakilla kuat, lagipun dia dengan bapa dia, bukan orang lain,” komen netizen.

“Insya-Allah Ameena seronok dekat sana. Balik nanti mesti peluk umi lama-lama,” tulis seorang pengikut

“Allah jaga dia di sana. Ibu doa dari jauh pun dah cukup, bapa dia ada, bukan pergi sendiri atau dengan orang asing, jangan overthinking tak bertempat,” ujar seorang pengguna media sosial.

Untuk rekod, Shakilla berkahwin dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 sebelum bercerai pada Disember 2021.

Pasangan itu dikurniakan Ameena yang kini berusia enam tahun.

Shakilla mendirikan rumah tangga baharu bersama Mohd Fariz pada 24 Februari 2024, manakala Fizi pula bernikah dengan Siti Zulaikha pada 23 Oktober 2023. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok