Ratu sinema Malaysia pun ‘mendunia’

NAMA Malaysia terus mekar harum di pentas hiburan antarabangsa selepas ramai artis tempatan mula meraih pengiktirafan luar negara.

Sama ada di Asian Academy Creative Awards (AACA), ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA), atau festival serantau lain, bakat Malaysia terus membuktikan kemampuan bersaing sebaris artis Asia dan antarabangsa lain.

Bukan sekadar omongan kosong, perkara tersebut dibuktikan dengan beberapa kejayaan membanggakan artis tanah air yang berjaya membawa pulang trofi di peringkat Asia.

HibGlam minggu ini menghidangkan lima selebriti tempatan yang berjaya membawa pulang trofi di beberapa anugerah berprestij di luar negara.

Maya Karin

PUNTIANAK jelita Maya Karin antara aktres unggul tanah air yang menerima banyak pengiktirafan dari luar negara antaranya Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem & TV Ramsgate yang berlangsung di Ramsgate, England 2020 menerusi filem Puntianak Harum Sundal Malam.

Maya juga pernah mengungguli gelaran Aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-48 di Fukuoka, Jepun (2004) dan menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Espano Terrror & Fantasy di Sepanyol pada 2005.

Susan Lankester

PADA usia 62 tahun, Susan Lankester dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Asia dalam Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura menerusi filem Rain Town.

Kemenangan tersebut hadir selepas lebih 40 tahun bergelar pelakon sekali gus, membuktikan dedikasi jangka panjang mampu membuahkan hasil.

“Semoga akan ada lebih banyak peluang dan watak untuk pelakon wanita selepas ini,” katanya.

Bukan anugerah pertama, dia juga pernah merangkul trofi Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada anugerah sama menerusi drama Keluarga Baha Don pada tahun 2021.

Siti Saleha

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, Siti Saleha kian berjaya mencuri perhatian Asia. Kerja keras terbayar apabila dia merangkul trofi Aktres Terbaik dalam AACA, satu pengiktirafan yang menaikkan profilnya di peringkat antarabangsa.

Dia juga pernah menang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AACA untuk drama Hilang. Pada 2024, dia juga pernah menjulang trofi Bintang Asia Terbaik dalam Anugerah Drama Antarabangsa Seoul menerusi drama SeOfis.

Azira Shafinaz

TIDAK sekadar penyanyi, anggota De Fam, Azira Shafinaz kini mengukuhkan nama sebagai aktres versatil apabila meraih Best Comedy Actress dalam AACA 2023 menerusi drama Ijab Kabut.

Lebih membanggakan, Azira kemudianmenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-61 untuk filem Indera pada Disember tahun lalu.

Anna Jobling

HASIL lakonan cemerlang dalam naskhah Hai Cinta, Anna Jobling mengharumkan nama negara apabila menang trofi Bintang Asia Terbaik pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2025 pada Oktober lalu.

Kata bintang filem Lembayung itu menyifatkan kemenangan tersebut tidak sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi simbol bahawa bakat seni lakonan Malaysia semakin mendapat tempat di mata dunia.

Sweet Qismina

SWEET Qismina mengukir pencapaian antarabangsa apabila membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2025 melalui filem Babah.

Trofi tersebut menjadi kejayaan keduanya sejak bergelar anak seni bermula dua dekad lalu.

Saya janji akan tambah baik kualiti lakonan. Anugerah ini untuk Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, dia berjaya merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 menerusi filem sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok