SELEPAS dua tahun bergelar janda, ibu kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihannya, Zainal dalam sebuah majlis sederhana, pagi tadi.
Khabar gembira itu mula mendapat perhatian selepas pereka fesyen duo terkenal, Seth & Luna berkongsi video persiapan pasangan sama cantik sama padan itu dalam Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, Fauziah dan Zainal kelihatan segak dalam busana sedondon berona ungu muda dan diberi sentuhan akhir oleh jurusolek sebelum majlis bermula.
Tahniah Shila, dapat bapa baharu. Selamat pengantin baharu Mama Zie dan Tuan Zainal.
“Semoga kekal hingga syurga,” tulisnya.
Ruangan komen turut dipenuhi ucapan tahniah daripada peminat serta rakan artis yang tumpang gembira melihat kebahagiaan ibu lima cahaya mata itu.
“Alhamdulillah, moga Mama Zie dan suami terus diberkati,” tulis seorang pengguna media sosial.
Akhirnya beliau bertemu kebahagiaan selepas segala ujian lalu,” komen netizen.
“Semoga hubungan baharu ini jadi penawar dan permulaan indah,” ujar seorang pengikut.
Untuk rekod, Fauziah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi era 80-an, Datuk ND Lala.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Shahila atau Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Pada 2 Ogos 2023, ND Lala melafazkan cerai di sebuah masjid sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Fauziah menerusi aplikasi WhatsApp.
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan kemudian mengesahkan lafaz itu sebagai sah pada 5 September 2023. – HIBGLAM
