LEBIH permainan emosi, pengarahan serta sinematografi luar biasa dan semestinya, terjemahan karakter hebat daripada dua pemain utama karakter kesayangan dunia, Elphaba lakonan Cynthia Erivo dan Glinda (Ariana Grande).
Itu yang ‘bocor’ dari fikiran penulis usai melangkah keluar panggung menonton filem Wicked: The Good arahan sutradara Jon M. Chu selain naskhah terbabit meneruskan kecemerlangan dari segi runut bunyi.
Berdurasi 2 jam 18 minit, Wicked: For Good menjadi pengakhiran yang dinanti-nanti ramai tidak wajar dilepaskan di panggung.
Pertama sekali, dari sudut terjemahan karakter, Cynthia dan Ariana masing-masing memberikan persembahan lakonan dan nyanyian sangat menakjubkan.

Cynthia (kiri) dan Ariana masing-masing menterjemahkan karakter dengan cukup cemerlang.
Hubungan persahabatan antara kedua-dua watak itu turut memberikan sentuhan emosi yang kuat, sekali gus menjadikan perjalanan mereka lebih menyentuh hati pada sekuel kali ini.
Penulis bukan peminat nombor satu jenama Wicked, namun sinergi emosi yang dilantunkan kedua-dua pelakon terbabit kadangkala membuatkan air mata bercucuran.
Persahabatan adalah antara elemen terpenting dalam kehidupan, begitulah yang ditunjukkan Elphaba dan Glinda bahawa sejauh mana dunia mengkhianati, akan ada jalan damai walaupun sakit ditelan.
Gelap
Keduanya, pengarahan Jon M. Chu untuk sekuel kali ini lebih memuaskan berbanding yang pertama.
Dunia Oz dibina dengan lebih luas dan terperinci, visual yang lebih memukau berbanding filem pertama, serta skala penceritaan yang terasa kian besar dan matang. Memukau,
Secara peribadi, penulis menyifatkan Wicked: For Good lebih ‘gelap’ daripada filem pertama yang sebelum ini menerima percikan kritikan kononnya tona dan visual terlalu ‘terang’ untuk sesebuah filem muzikal.
Selain itu, runut bunyi kali ini menggabungkan lagu-lagu ikonik daripada Wicked bersama beberapa lagu baharu.

LAKONAN dan persembahan nyanyian luar biasa daripada pelakon utama Wicked: For Good, Cynthia Erivo.
Ketika Elphaba dan Glinda bertembung menyanyikan lagu For Good, ada bahagian dalam diri yang ‘berkaca’ dan hati seperti dirobek-robek. Semestinya dua perihal tersebut membuatkan mata ‘berhabuk’ dan hati berbolak-balik dengan makna sebuah persahabatan yang setia.
Pengakhiran tak sama
Filem ini bukan sekadar mengulangi pentas muzikal asal. Watak-watak tertentu diberi latar lebih mendalam malah dunia Oz diteroka dengan lebih luas.
Ada juga kejutan kecil yang pasti menggembirakan peminat tegar Wicked dan Broadway. Bagaimana kisah Elphaba dan Glinda dinoktahkan.
Juga bagaimana Glinda berpegang kuat pada janji yang dipateri kepada Elphaba untuk menjadikan dunia Oz aman dan damai.

SIAPA sangka, emosi antara Fiyero dan Elphaba berakhir dengan tragedi yang mengakibatkan kesunyian suatu jiwa.
Bagaimanapun, dalam banyak pujian, ada perkara yang secara peribadinya buat penulis kurang terkesan dengan Wicked: For Good. Kalau dalam filem pertama, koreografi antara perihal yang menguatkan jalan cerita, namun untuk sekuel kali ini hal terbabit tidak diperkasakan dengan selumatnya.
Mungkin memang tujuan pengarah untuk lebih memberikan dampak emosi kepada audiens.
Itu memang dapat dilihat apabila antara ‘faktor x’ utama Wicked: For Good adalah perjalanan emosinya.
Apapun, Wicked: For Good masih antara filem yang wajib ditonton menjelang penutup tahun 2025.
Ada sedikit perubahan berbanding versi teater atau broadway, namun itulah keindahan apabila seni teater beralih kepada layar perak.
Markah peribadi buat Wicked: For Good andai kisah ini sebuah lembaran kertas peperiksaan adalah 80/100. Tetap menghiburkan. – HIBGLAM
