TERUS menanam tekad, penyanyi Irene Catalina menegaskan usia mencecah 50-an tidak pernah melemahkan semangatnya untuk teguh berdiri megah dalam dunia seni meskipun hampir dua dekad berjuang di pentas muzik.
Ujar Irene, pertambahan usia memberinya kelebihan tersendiri terutama apabila memilih untuk kekal membawa muzik pop dance.
“Saya tahu ramai fikir genre rancak lebih sesuai untuk artis muda.
“Tetapi pada saya, itu jadi kekuatan saya pula.
“Tidak ramai sebaya saya tampil dengan konsep bertenaga, malah usia menjadikan gaya itu lebih matang,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya, tempoh lama tidak muncul di depan kamera bukan disebabkan kekecewaan, sebaliknya dia aktif bergerak di belakang tabir.
“Bertahun-tahun saya fokus pada pengurusan acara dan kerja pemasaran.
“Saya tetap menyanyi di majlis korporat untuk kekalkan momentum.
“Cuma saya jarang berada di hadapan kamera seperti dulu,” ujarnya.
Selepas lapan tahun tanpa single, Irene menyifatkan Mau Apa Lagi? sebagai lembaran baharu dalam kerjaya.
“Saya kembali dengan hati lebih yakin.
“Seni tak pernah letakkan had umur.
“Selagi ada disiplin dan kreativiti, semua orang berhak berkarya,” jelasnya.
Single ciptaan Bendittho itu mengetengahkan pop dance dengan sentuhan hip-hop 90-an, memberi warna lebih moden serta nuansa jalanan. – HIBGLAM.
