MENGEMBALIKAN nostalgia, kumpulan legenda Indonesia, Radja dan Wali bakal menggetarkan gelanggang seni tanah air menerusi konsert berskala besar Pentas RadjaWali Live in Malaysia pada 10 Januari 2026 bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran di Malaysia, dua nama gah itu bakal berkongsi pentas, sekali gus menyajikan gabungan vokal, tenaga serta memori zaman gemilang yang masih membekas di hati pengikut setia.
Radja bakal memanaskan arena dengan rangkaian karya malar segar seperti Jujur, Bulan dan Cinderella, manakala Wali pula hadir membawa roh lagu hit Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang serta Tomat (Tobat Maksiat).
Vokalis Radja, Ian Kasela menitipkan rasa rindu cukup mendalam terhadap peminat Malaysia yang dianggap sebahagian nadi kembara seni mereka.
Ujar Ian, kerinduan itu seakan terubat sebaik menerima undangan kembali beraksi di Kuala Lumpur.
Malaysia sentiasa dekat di hati. Kami tidak pernah melupakan peminat di sini dan undangan untuk kembali membuat persembahan benar-benar mengujakan.
“Setiap kali ke Malaysia, sambutannya luar biasa. Semangat itu membuatkan kami mahu beri yang terbaik. Kami janji malam itu bukan sekadar konsert tetapi perjalanan emosi bersama,” katanya kepada HibGlam.
Rumah kedua
Sementara itu, Wali yang dianggotai Faank, Apoy, Ovie dan Tommy menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua dan berasa teruja untuk kembali menghiburkan pencinta setia mereka.
“Syukur, kami merindui sambutan peminat dan suasana di Malaysia. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang lebih segar.
“Kami mahu setiap lagu membawa makna baharu ketika dinyanyikan bersama. Kami juga tak sabar menyapa peminat yang selama ini menyokong tanpa henti,” ujar Fannk.
Dalam memastikan perjalanan konsert berjalan tanpa cela, pihak penganjur, Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) meraikan barisan penaja kini digelar rakan strategik dalam satu majlis khas di Redbox The Gardens.
Pengarah Projek merangkap Pengarah Konsert, Muhamad Firdouz Abd. Razak atau Fidote mengakui sokongan kukuh daripada rakan strategik menjadi tulang belakang yang menerjemahkan perancangan besar itu ke pentas nyata.
Tambah Fidote, proses mendapatkan penaja bukan semudah yang disangka.
Dalam keadaan sekarang, memang sangat mencabar untuk mendapatkan tajaan. Syukur, mereka yakin dan menyokong penuh projek ini. Tanpa mereka, konsert berskala besar ini sukar direalisasikan. Sokongan ini jadi pembakar semangat untuk memastikan konsert berjalan lebih gah daripada jangkaan,” jelasnya.
Antara Rakan Strategik terbabit ialah Redbox dan Three Hand Production selaku penaja utama, GGR Motor, Dua Darjat Coffee (minuman rasmi), Roerdum (jam tangan rasmi), Era, Sinar dan THR Gegar (radio rasmi) serta Royale Chulan sebagai hotel rasmi.
Menurut Fidote, sambutan terhadap Pentas RadjaWali cukup luar biasa, malah tiket berharga RM177 habis terjual dalam tempoh seminggu, manakala kategori premium turut mendapat permintaan tinggi khususnya daripada syarikat korporat.
Secara keseluruhan, jualan tiket sudah mencecah 60 peratus. Ini satu petanda baik dan kami amat berterima kasih atas sokongan semua pihak,” ujarnya yang menjanjikan pengalaman berharga buat penonton konsert itu.
Bagi menambah keterujaan peminat, penganjur turut melancarkan peraduan cabutan bertuah khas yang akan berlangsung pada malam konsert dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik buat penonton bertuah.
Tiket konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia ditawarkan dalam beberapa kategori bermula dari RM177 hingga RM977 dan boleh didapati melalui Fantopia.io.
