Konsert Dolla 6 Disember depan batal

PENGANJUR acara, Sah Entertainment dan syarikat rakaman Universal Music mengumumkan Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang sepatutnya berlangsung pada 6 Disember depan di Idea Live Arena dibatalkan.

Menurut Pengarah Sah Entertaiment, Sufie Rashid, keputusan sukar tersebut diambil selepas mengambil banyak faktor termasuk tempoh persiapan yang terhad.

“Selepas menilai semula keseluruhan garis masa persiapan acara, termasuk aspek keselamatan, teknikal, kelulusan yang diperlukan dan persediaan operasi, kami mendapati bahawa persiapan akhir acara mungkin tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan.

Meneruskan acara dalam keadaan yang tidak menentu ini boleh membawa risiko yang tidak perlu, termasuk kemungkinan gangguan acara pada saat akhir dan ini akan menjejaskan semua pemegang tiket.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan artis, kru, pasukan venue dan terutama sekali para peminat. Kami enggan menyampaikan persembahan yang kurang daripada apa yang terbaik daripada Dolla,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sufie, pihaknya telah berusaha untuk memberi pengalaman luar biasa kepada penonton pada konsert tersebut namun limitasi masa adalah antara punca utama sekali gus bimbang tidak mampu untuk merealisasikan persembahan terbaik pada malam tersebut.

Kami percaya pada penganjuran persembahan yang menepati standard tertinggi dari segi keselamatan, kualiti dan pengalaman.

“Setelah melalui perbincangan teliti serta penilaian risiko, kami mendapati bahawa meneruskan acara mengikut garis masa semasa berpotensi menjejaskan kualiti keseluruhan acara.

“Justeru, kami akan memproses semua pemulangan wang (refund) dengan segera,” katanya lagi.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim  pula berkata, dia memahami rasa kecewa peminat Dolla malah pembatalan konsert bukan satu keputusan yang mudah untuk diambil.

“Buat para peminat Dolla yang setia, kami turut merasai kekecewaan kalian dan tahu betapa tinggi harapan yang telah terbina untuk persembahan ini.

Membatalkan sesebuah acara bukanlah keputusan mudah, terutamanya apabila melibatkan kumpulan hebat seperti Dolla dan hubungan mereka dengan peminat iaitu iDolla.

“Kami dengan tulus memohon maaf atas segala kesulitan dan rasa kecewa yang timbul namun komitmen kami untuk memastikan pengalaman yang sempurna serta selamat kekal menjadi keutamaan kami,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua pemegang tiket akan menerima wang mereka semula dalam jumlah penuh.

“Semua pemegang tiket bagi konsert ini akan menerima pemulangan wang penuh.

Pemulangan wang akan diproses secara automatik melalui kaedah pembayaran asal kepada semua pemegang tiket,” ujarnya.

Sebelum ini, nama Dolla meledak selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel dalam video muzik (MV) terbaharu mereka, Question.

Perkara tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang memaklumkan sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam berpakaian mencolok mata.

Katanya, beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.

Syarikat rakaman Universal Music Malaysia juga mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam MV terbabit yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok