PENGARAH Indonesia Helfi Kardit memaklumkan kru produksinya mengalami kejadian mistik ketika menjalani penggambaran filem terbaharu arahannya berjudul Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai.
Menurut Helfi, 51, insiden menyeramkan terbabit berlaku ketika mereka menjalani penggambaran di kawasan Gunung Pandayan, Jawa Barat sehingga memaksa produksi menukar lokasi.
“Penggambaran dilakukan di Gunung Pandayan, Jawa Barat. Waktu itu sekitar pukul tiga pagi, kami sedang berehat seketika. Sejuk sekali keadaan ketika itu.
“Kebetulan, ada sebatang sungai. Apabila kru alihkan lampu, ternampak kepala dalam aliran sungai itu, memang seram.
“Saya kemudian ambil keputusan untuk pindahkan lokasi penggambaran,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan perdana tersebut, baru-baru ini.
Jelas Helfi, kejadian menyeramkan berkenaan kemungkinan ada kaitan dengan ilmu Rawa Rontek iaitu tradisi orang Jawa.
“Mungkin kerana saya membuat film tentang Rawa Rontek iaitu kepala dipenggal boleh kembali lagi. Tapi entah macam mana boleh ada kepala dalam aliran sungai itu?
“Saya bingung juga tapi saya tidak mahu fikir banyak. Kita tukar sahaja lokasi penggambaran,” ujarnya.
Tambahnya, Rawa Rontek ialah ilmu kebal yang dipercayai diamalkan pahlawan Jawa pada zaman dahulu, membolehkan mereka hidup semula jika kepala dan badan kembali bercantum.
“Kalau di Indonesia, Rawa Rontek memang sudah terkenal. Kepala yang dipenggal akan hidup kembali apabila bertemu semula dengan badan dan dipijak ke bumi.
“Oleh itu mereka percaya, kepala yang sudah dipotong perlu dipisahkan daripada tubuh.
“Mungkin hal seperti itu jarang didengar di Malaysia,” katanya lagi.
Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai merupakan sekuel kepada filem Menjelang Magrib yang ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu dan mendapat kutipan hampir RM2 juta.
Filem kedua tersebut menceritakan tentang seorang doktor yang mahu menyelamatkan gadis yang mempunyai sakit misteri menyebabkannya dipasung di Desa Karuhan.
Helfi yang juga selaku penulis lakon layar mengambil latar tahun 1920 sewaktu Indonesia masih dijajah Belanda.
Filem Menjelang Magrib 2 menemui penonton Malaysia bermula 20 November di seluruh pawagan. – HIBGLAM
