PELAKON Datuk Remy Ishak mendedahkan amalan mandi garam yang disarankannya kepada rakan artis, Zara Zya, berupaya membantu menyingkirkan aura negatif dalam badan.
Ujar Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, saranan tersebut diberikan berdasarkan pengalaman peribadi yang pernah mengikuti rutin berkenaan sebelum ini.
“Saya cakap berdasarkan pengalaman, kita pernah melalui penyakit ain kalau muncul di khalayak awam atau terlibat dengan dunia luar.
“Perkara itu biasa, secara saintifik, kalau kita banyak ion negatif, garam membantu sama ada kita minum atau mandi.
“Mineral garam memang perlu dalam badan dan secara saintifik pun terbukti,” katanya kepada Kosmo! Online pada media day: Sumpah Ibuku baru-baru ini.
Tambahnya lagi, amalan tersebut sering dilakukan bergantung kepada keperluan terutama ketika berada dalam tekanan.
“Itulah amalan saya bila rasa stres. Kadang media sosial orang tengok gambar bersangka tak baik buat kita terkena benda-benda negatif.
“Buat rasa badan tak selesa tiba-tiba beremosi dan marah. Rasa tak menentu, bermakna ada sesuatu tidak kena. Cara terbaik adalah mandi garam.
“Saya tidak tahu orang lain, kalau saya ya (tenang). Lain orang lain cara, setengah orang telan panadol pun dah okey. Kalau saya sendiri, memang terbukti,” jelasnya.
Mengulas mengenai bagaimana mempelajari kaedah tersebut, Remy menjelaskan cara tersebut diberikan pakar ketika dirinya berdepan episod kemurungan sewaktu pandemik Covid-19.
“Dulu ada satu masa waktu pandemik, saya mengalami kemurungan dan berjumpa dengan pakar psikiatri serta pakar psikologi. Saya dapat tip ini daripada mereka,” tuturnya.
Sebelum ini, pelakon Zara Zya memuat naik hantaran dalam Threads berkaitan kewujudan aura negatif yang membuatkan seseorang terasa jauh dan sukar didekati.
Gara-gara hantaran terbabit, Remy menulis komen dengan mencadangkan agar rakan seperjuangannya itu mengamalkan mandian garam dan ais. – HIBGLAM
