PENGARAH dan penerbit Erma Fatima menegaskan jalan cerita drama Toksik Cinta bukan berlandaskan daripada kisah hidup mana-mana kisah rumah tangga selebriti tanah air.
Erma, 57, selaku penulis skrip berkata, idea penghasilan Toksik Cinta adalah daripada kisah perceraian pasangan artis Hollywood iaitu Johnny Depp dan Amber Heard yang tular sebelum ini.
“Ketika trailer drama itu keluar dalam media sosial, netizen bantai gila-gila kononnya saya perli kehidupan artis Malaysia.
“Ada ke artis Malaysia yang narsisistik dan pukul suami macam dalam drama itu? Saya tak pernah dengarlah pula.
“Drama itu diinspirasikan daripada Depp dan Heard iaitu suami menjadi mangsa keganasan rumah tangga isteri. Tiada kaitan dengan artis Malaysia,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah Erma, dia juga tiada masa untuk melayan setiap komen negatif mengenai naskhah atau dirinya dalam media sosial kerana semua itu dianggap hal remeh.
“Mereka ada hak untuk berkata-kata dan saya juga ada hak untuk lakukan perkara saya mahu.
“Mungkin kadang-kadang apa yang saya nak sampaikan orang tak dapat fahami dan intepretasi berbeza. Tak akanlah saya nak jelaskan semuanya setiap masa.
“Terpulang kepada semua orang untuk terima karya saya tu mengikut persepsi sendiri.
“Orang nak kecam, silakan. Saya tak boleh tutup semua mulut orang dan saya juga tidak boleh puaskan hati semua orang,” katanya lagi.
Terdahulu, Toksik Cinta yang disiarkan menerusi platform TonTon meraih pelbagai respons daripada penonton.
Rata-ratanya mendakwa jalan cerita yang diketengahkan adalah tentang kes rumah tangga selebriti tanah air.
Toksik Cinta yang skripnya dihasilkan oleh Erma itu dibintangi Riena Diana, Aqasha, Keith Foo dan Cristina Stockstill. – HIBGLAM
