‘Saya nak jumpa Hawra, harap Uqasha beri kelonggaran’

DIDAKWA tidak meluangkan masa dengan anak, pelakon Kamal Adli merayu agar pihak isterinya, Uqasha Senrose memberi kelonggaran untuk bertemu puteri tunggalnya, Hawra Uqaira.

Ujar Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, urusan peribadi tidak sepatutnya dikongsikan kepada umum kerana fokusnya hanya mahu menjaga anaknya.

“Ini hal rumah tangga, biar saya dengan dia yang selesaikan dan tak patut pun dikongsi dengan orang seterusnya jadi bahan untuk dihakimj.

Jadi tak seronok dan paling penting tak ‘best’ untuk anak saya, Hawra. Sekarang saya nak pertahankan untuk dapat jumpa Hawra.

“Macam lama sangat tak dapat luangkan masa dengan dia. Jadi, saya harap pihak isteri bagi kelonggaran, memudahkan kerja untuk saya nak jumpa dengan Hawra. Kali terakhir berjumpa dia pada 10 November, itu pun terjumpa,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Pelakon drama Sha & Shah itu memaklumkan kehadirannya ke mahkamah dilakukan demi anak mereka yang masih memerlukan perhatian ibu bapa.

“Saya cuma nak cakap saya datang sini sebab saya ada anak lagi yang perlukan mak dan ayah dia.

Itu yang paling penting dan semua orang kena faham kenapa saya dekat sini. Saya tak fikir fasal saya dah. Ini semua sebab Hawra dan apa pun pendapat isteri, saya fikir saya nak anak dapat kasih sayang yang cukup.

“Jadi, sebab itu saya pertahankan untuk Hawra sebenarnya. ,” katanya lagi.

Sebelum ini Kamal pernah berkongsi gambar bersama Uqasha dan anak mereka sekali gus menunjukkan kerinduan mendalam selepas tidak dapat berkomunikasi dengan wanita itu.

Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok