EMPAT tahun sahaja.”
Demikian jawapan pelakon Uqasha Senrose yang memaklumkan sudah memberi peluang selama beberapa tahun kepada suami, Kamal Adli untuk memperbaiki kemelut rumah tangga mereka.
Disebabkan itu, Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, kekal tegas dengan pendirian untuk bercerai kerana merasakan usahanya untuk memperbaiki hubungan disia-siakan suami.
Saya sudah berusaha untuk perbaiki rumah tangga ini, cuba sedaya upaya saya. Malah saya sudah berjumpa keluarga Kamal terlebih dahulu untuk bantu saya perbaiki dan pertahankan perkahwinan kami.
“Tetapi, tiada perubahan langsung oleh Kamal. Saya masih ada ibu bapa, adik-beradik, saya perlu beritahu keluarga apa yang terjadi dalam rumah tangga saya.
Saya berbincang dan kedua-dua juga sudah berbincang untuk beri peluang lagi kepada Kamal. Namun peluang itu disia-siakan.
“Setelah dipersiakan, saya rasa adalah terbaik untuk saya dan anak keluar dari kemelut yang memudaratkan mental dan fizikal saya serta anak. Jadi saya nekad untuk berpisah,” katanya kepada HibGlam, hari ini.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan kedua-dua pihak akan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi berbincang sebelum prosiding seterusnya pada 18 Disember depan.
“Hari ini adalah prosiding ketiga dan masing-masing membawa wakil JKP.
Akan ada satu tarikh untuk berjumpa di JAWI bagi berbincang. Perjumpaan JAWI akan berlangsung terlebih dahulu sebelum prosiding seterusnya iaitu pada 18 Disember depan,” ujarnya.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Permohonan cerai berkenaan dibuat Uqasha pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.
Sehubungan itu, prosiding seterusnya untuk kes cerai mereka ditetapkan mahkamah hari ini sebagai tarikh baharu.
Prosiding sebutan pertama kes perceraian Kamal dan Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, berjalan pada 22 Oktober lalu.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. – HIBGLAM
