PENDAKWAH selebriti, Imam Muda Asyraf berpendapat teguran terbuka wajar dilakukan terhadap mana-mana selebriti mempromosikan perkara yang melanggar syariah Islam secara terang-terangan.
Menurut Asyraf atau nama penuhnya, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, teguran sememangnya perlu dilakukan bagi mencegah sebarang kemungkaran berleluasa tetapi harus dilaksanakan dengan cara yang tepat.
“Dalam agama, ada amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran). Benda sebegini yang orang tak nak.
“Dalam konteks sekarang, jika tidak dilakukan secara terbuka, mungkin teguran boleh dilakukan secara peribadi dan tertutup dengan memberi nasihat.
Tapi, kalau sesuatu perkara itu (kemungkaran) dilakukan secara zahir dan promosinya ditunjukkan dengan begitu dahsyat juga, teguran perlu dilakukan dengan secara terbuka jugalah,” katanya kepada HibGlam semalam.
Asyraf berkata demikian bagi mengulas tindakan pendakwah bebas yang menegur pemakaian mencolok mata segelintir selebriti beragama Islam dalam mempromosikan karya seni mereka.
Mengupas lanjut cadangan penguatkuasaan kerajaan untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata, Asyraf menyambut baik namun pelaksanaan harus dilakukan secara teliti agar tidak melanggar hak privasi mana-mana pihak.
“Kalau nak laksana, pihak kerajaan perlu teliti sebab dalam pelaksanaan sebegini, pasti dilakukan secara berperingkat.
Nak suruh orang tutup terus pun mungkin ada peringkat-peringkat tertentu dan kita faham. Tak semudah yang mungkin kita boleh cakap.
“Insya-Allah kita doakan yang terbaik semoga pelaksanaan tindakan untuk meletakkan prosedur operasi standard (SOP) itu berlaku dengan baik,” jelasnya.
Melihat ramai yang melemparkan pelbagai respons mengenai cadangan pihak kerajaan, dia berkata, segala persoalan orang ramai hanya boleh terjawab selepas garis panduan mengenai isu tersebut diumumkan.
Cumanya sekarang kita berbincang tentang isu negara yang nak menetapkan satu undang-undang, menetapkan sesuatu yang bila kita panggil sebagai ruang awam.
“Berbincang tentang hak peribadi dan adakah kita ingin menjadi polis syariah? Ini persoalan-persoalan yang selalu orang bincanglah.
Jadi mungkin kalau kerajaan nak buat garis panduan, saya rasa bagus. Kita menunggu juga garis panduan yang lebih objektif, mudah difahami dan ada sukatan kadarnya.
“Cuma dari segi pelaksanaannya itu, saya serah pada pihak undang-undang sebab memang ada peruntukan Undang-undang Jenayah Syariah mengenai etika pemakaian dan sebagainya,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan pihaknya sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Katanya, beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.
Perkara tersebut disuarakan selepas video muzik (MV) terbaharu Dolla iaitu Question meraih kritikan daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut.
Rentetan itu, muzik video tersebut diturunkan dari YouTube selepas mendapat teguran pelbagai pihak termasuk Menteri Agama.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam MV terbabit yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton. – HIBGLAM
