‘Tak jadi tarik diri, ada doktor ‘stand by’ dalam dewan’

MESKI berdepan masalah sakit jantung dan telinga berdesing atau tinnitus, penyanyi Elaine Kang nekad terus bertanding dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).

Bahkan, Elaine, 60, mengaku degil dan tidak mendengar nasihat doktor yang memintanya untuk berehat.

Ya, memang saya degil! Saya tidak jadi tarik diri. Buat masa ini doktor kata okey sahaja dan tidak halang kerana tahu saya seorang penghibur dan suka berada di atas pentas.

“Dalam masa yang sama saya harus mengikut setiap nasihat doktor. Syukur kerana ramai sayangkan saya. Apa yang boleh saya beri kembali adalah suara dan persembahan di atas pentas,” katanya.

Selepas nekad untuk terus bertanding Elaine juga mengambil langkah selamat apabila doktor peribadinya turut berada dalam Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap minggu bagi memantau tahap kesihatannya.

Memang setiap minggu ada doktor ‘stand by’ dalam dewan itu. Dia memantau dengan melihat mata saya di skrin. Jika nampak saya nampak penat atau ada sesuatu yang tidak kena dia akan tahu.

“Dia juga memesan agar saya tidak terlalu memaksa diri, tapi sebagai penyanyi paling penting bagi saya adalah menghiburkan peminat,” tuturnya.

Menyentuh tentang persembahannya, meskipun baru minggu ketiga Elaine sudah dikenali sebagai penyanyi yang memiliki citarasa tersendiri terhadap fesyen, malah sanggup mengayakan busana daripada koleksi peribadinya.

Pada minggu kedua, berat pakaiannya yang digayakan mencecah hampir 10 kilogram , manakala pada minggu ini busana unik berwarna putih memiliki berat lima kilogram.

Semuanya baju saya dan sudah ada dalam koleksi peribadi bukannya baju baru pun. Doktor ada membebel kerana baju berat, tetapi saya tetap mahu pakai untuk tatapan peminat,” luahnya yang terus bersaing pada minggu depan.

Terdahulu, pada minggu kedua GV12 Elaine memberi bayangan mahu menarik diri kerana masalah kesihatan yang dialami.

Selepas tiga minggu bersiaran GV12 masih belum membuat sebarang penyingkiran dan minggu hadapan adalah minggu kolaborasi bersama penyanyi jemputan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok