‘Ada tak orang berani nak bayar Ella, M. Nasir RM1,500?’

ISU tawaran bayaran persembahan terlalu rendah, penyanyi Cat Farish terpanggil berkongsi situasi hampir serupa ketika awal pembabitan kariernya.

Pemilik nama sebenar Farish Ramli, 51, berkata walaupun menerima bayaran kecil pada peringkat awal, dia tetap fokus terhadap nyanyian sehingga kini mampu meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka.

“Kita nak jadi penyanyi akan ada benda macam ini, RM500 pun ada. Ini bukan fasal duit tapi berkaitan cari makan.

Dunia artis kalau baharu, memang dulu kita dibayar RM20 seorang, paling murah RM20 kongsi lima orang masa zaman gig.

“Ketika itu fokusnya menyanyi tetapi bila dah naik atas mulalah harga RM5,000, RM10,000, RM20,000 sampai sekarang RM50,000 untuk persembahan.

“Tetapi kalau budak universiti panggil untuk menyanyi bajet ada RM500 hiburkan 1,000 pelajar. Saya akan fikir mereka akan dengar balik lagu saya, itu cara berfikir sebagai orang lama,” katanya kepada HibGlam pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier di IOI City Mall, semalam.

Bagaimanapun, ahli kumpulan Ruffedge itu tidak menafikan ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan bayaran rendah, namun menegaskan pentingnya artis mengurus situasi tersebut dengan bijak.

“Ada setengah akan ambil kesempatan seperti persembahan amal. Macam mana nak elak dan jadi bijak? RM1,500 setengah orang rasa sikit ada yang rasa banyak.

Bagi saya RM1,500 tulis nama Ruffedge Charity dalam ‘check’ dan duit itu sebagai token kami datang.

“Kalau tak nak, cakap tidak boleh. Kadang-kadang ada orang ambil kesempatan dan ada yang betul-betul ada RM1,500. Itu contoh bagaimana kami bertahan,” jelasnya.

Pada masa sama, dia juga menambah bahawa penyanyi perlu membina kelas dan standard tersendiri supaya tidak mudah diberikan bayaran rendah.

Ada juga penyanyi yang bina kelas tersendiri. Ada tak orang berani nak bayar Ella, M. Nasir RM1,500? Tak logik sebab mereka dah ada standard diri.

“Ruffedge pun orang tak pernah tanya bayaran RM1,500. Kita kena bijak berfikir dan ‘counter’ balik,” tuturnya.

Sebelum ini, penyanyi Ariff Bahran mendedahkan pernah ditawarkan bayaran serendah RM1,400 bagi mendendangkan dua lagu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok