Terlalu berat, tiba-tiba rasa takut luar biasa – Ummi Nazeera

BAKAT lakonan Ummi Nazeera tidak perlu diperdebatkan. Kekuatannya adalah watak air mata dan karakter sebegitu sentiasa dilunaskan dengan cemerlang.

Masakan tidak, dua dekad dalam industri, apa sahaja watak yang dilakonkan pasti akan menjadi buah mulut ramai. Bukan dikecam sebaliknya pujian yang membanjiri pemilik nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin itu.

Keistimewaannya terletak pada kejujuran. Aktres berusia 35 tahun itu tidak perlu berteriak atau menjerit untuk membuat penonton menangis, gerak mata dan nada suaranya sudah cukup untuk menusuk emosi.

Justeru, setiap naskhah lakonannya sering menjadi bualan ramai, bukan kerana kontroversi, tetapi keindahan seni yang dibawakan.

Namun, dalam segala kehebatan itu, Ummi tetap wanita berprinsip. Sejak berhijab, dia amat berhati-hati memilih watak agar tidak menjejaskan maruah dan batas sebagai Muslimah.

Justeru, ketika menerima tawaran drama terbaharu berjudul Saat Aku Tahu yang menampilkan kisah orang ketiga dan curang dalam rumah tangga, wanita jelita itu terlebih dahulu meneliti setiap inci skrip.

“Nak bawa watak dalam sebuah naskhah bertemakan kecurangan bukan mudah. Banyak isu sensitif yang perlu dijaga.

Saya dan hero Hisyam Hamid tak bersentuhan langsung, tapi ada beberapa babak yang memerlukan ‘kamera trick’. Walau apa pun, saya tetap menjaga batas sebagai wanita bertudung.

“Sejujurnya saya tidak pernah buat begitu. Harapan saya, penonton dapat menerima dengan hati terbuka,” katanya kepada HibGlam.

UMMI tetap menjaga batas sebagai seorang Muslimah walaupun aktif dalam dunia lakonan yang
penuh dengan pancaroba.

Bukan itu sahaja, Ummi berkata, cabaran kali ini bukan calang-calang. Watak Maira, wanita yang tersakiti dan dalam masa sama menyakiti, benar-benar menuntut kekuatan mental serta fizikal.

Malah ibu dua anak itu mengakui naskhah tersebut antara paling mencabar dalam kariernya

“Naskhah ini antara yang paling sukar dalam karier saya. Setiap lontaran dan penegasan watak melibatkan emosi, fizikal dan mental sekali gus.

Secara fizikal pun saya sangat penat sebab ada sedikit babak aksi. Watak Maira ni banyak lapisan, boleh jadi baik, boleh jadi jahat.

“Karakternya bukan semata-mata jahat, tetapi kompleks. Dia tersakiti dan dalam masa sama menyakiti orang lain,” luahnya.

Ada satu ketika, Ummi mendedahkan dirinya dihantui rasa takut sewaktu penggambaran. Getaran halus dalam jiwa itu muncul tiba-tiba, saat dia menyelami emosi karakter hingga tenggelam dalam dunia Maira.

“Suatu hari ketika penggambaran, saya tiba-tiba dilanda ketakutan luar biasa malah sudah lama tidak merasakan seperti itu.

Babak itu sangat berat, dan ketika itu saya sedar karakter ini terlalu dalam. Namun, graf perjalanan Maira menjadikan naskhah ini menarik untuk ditonton,” jelasnya.

Saat Aku Tahu merupakan sebuah drama psikologi romantik tentang kepercayaan, kekecewaan dan dendam dalam hubungan.

Siri 15 episod itu ditayangkan dalam platform Viu setiap Khamis dan Jumaat bermula 6 November lalu.

Selain Ummi, drama arahan Riza Baharudin itu turut membariskan pelakon ternama seperti Hisyam Hamid, Anna Jobling, Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok