Amelia Christie penat diganggu lelaki miang

PELAKON Amelia Christie penat berdepan gangguan lelaki tidak beradab yang sering menghantui akaun media sosialnya dengan menghantar pelbagai mesej menjijikkan.

Ujar Amelia atau nama sebenarnya Amelia Christie Lim, 25, situasi berlarutan itu bukan sahaja menyerabutkan malah menimbulkan rasa takut dan keresahan pada dirinya dan ramai lagi kaum wanita yang mungkin berdepan isu sama.

“Macam-macam berlaku bila saya post gambar di Instagram Story terutama gambar terbaharu yang berada di pantai.

“Tiba-tiba ada lelaki secara ‘random’ fikir dia dapat uji bakat untuk filem 18+ (18SX).

“Cara mereka menaip, emoji digunakan, keyakinan mereka, saya sendiri tak tahu nak gelak, menangis atau terus block,” katanya dalam Threads.

Tegas bintang drama Gamers Mangkuk itu, kaum wanita hanya mahu menikmati media sosial tanpa diganggu orang luar selain menasihatkan golongan lelaki supaya bersikap sopan apabila berinteraksi dalam platform digital.

“Perkara ini sering berlaku pada wanita. Memang memenatkan. Kami cuma mahu enjoy media sosial tanpa diganggu ‘strangers’ yang macam hilang adab sejak 2010.

“Satu peringatan lembut buat lelaki, bercakap dengan wanita secara hormat sentiasa beri kesan lebih baik daripada bertindak seperti ‘broken NPC’ (gila seks) dalam DM,” ujarnya.

Rata-rata netizen senada dengan Amelia selain menyifatkan manusia kini seperti sudah hilang pedoman dan kurang hormat antara satu sama lain.

“Setuju! Sopan santun tak susah pun, kenapa semua macam dah hilang arah sangat,” komen netizen.

“Memang ada yang tak reti jaga batas dalam sosial media terutama jantan miang, otak dia macam tiada benda lain nak fikir,” tulis pengikut.

Perkara sebegini bukanlah kali pertama berlaku kepada artis tempatan malah sebelum ini selebriti seperti Nadia Brian, Rezza Shah dan Sophia Albarakbah turut terpalit pengalaman sama. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok