Lama berjuang, Rebecca Nur Al-Islam akhirnya bergelar siswazah

USIA bukan penghalang, pelakon Rebecca Nur Al-Islam berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Menurut Rebecca, 39, perjalanan menggenggam ijazah bukan sesuatu yang mudah memandangkan dirinya memikul pelbagai tanggungjawab dalam masa sama.

Sesungguhnya perjalanan pembelajaran selama hampir lima tahun bukanlah mudah kerana dalam masa sama saya ibu kepada tujuh anak yang masih kecil lagi.

“Saya juga anak perempuan kepada ibu saya, saya juga Isteri (pada ketika itu).

“Dalam masa sama saya bekerja mencari rezeki yang halal untuk anak-anak saya,” katanya dalam hantaran Instagram.

Bagaimanapun, pelakon filem Pada Suatu Cinta Dahulu itu reda dengan ujian yang dihadapi dalam hidup.

“Saya sedar dunia hanya sementara. Saya tahu saya hanya di sini sebagai pinjaman Allah.

Reda apa sahaja yang terjadi dalam hidup saya dan bersyukur kerana percaya Allah sayang saya,” ujarnya lagi.

Dia turut menitipkan nasihat agar sentiasa berpegang teguh pada agama walaupun kehidupan terus diuji.

“Ingat hidup tidak selalunya indah, sayang. Kita pasti akan diuji.

Pegang teguh pada agama dan Al-Quran. Pandangan orang lain itu tidak penting, kita senyum dan ucaplah alhamdulillah,” jelasnya.

Sebelum ini, rumah tangga Rebecca dan Datuk Nur Azman Sulaiman berakhir selepas 18 tahun berkongsi hidup.

Mereka dikurniakan enam cahaya mata dan membesarkan anak angkat, Nor Adam Daniel yang kini berusia 16 tahun. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok