‘Kenapa nak beri tekanan, saya baru 14 tahun’

SEJUJURNYA ini kali kedua, penulis menjemput Umairah datang ke sesi fotografi demi menelusuri hati budi dan merekodkan sendiri momentun perjalanan seni penyanyi remaja itu.

Kali pertama adalah tahun lalu, namun atas kekangan waktu dan pertembungan jadual, hasrat yang dihulurkan sukar disambut. Persekolahan dan akademik menjadi keutamaan.

Kesungguhan untuk melamar si gadis manis yang mesra disapa Umai itu sebagai penghias muka depan HibGlam kali ini terlestari juga, sementelah semangat seni terus membara walaupun baru berusia 14 tahun.

Tahun ini, aktivitinya lebih rancak apabila menjadi artis pertama bawah pengurusan syarikat milik Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, SN Legacy Sdn. Bhd. pada Januari lalu.

Tidak menunggu lama, dia juga terus melancarkan single sulung berjudul Sayap yang sudah mengaut 59,000 tontonan dalam YouTube.

Kejayaan disusuli dengan duet bersama Siti Nurhaliza juga ibu saudaranya menerusi lagu Kaca Dan Permata kolaborasi yang mengukuhkan kedudukannya dalam dunia seni tanah air.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar, Sayap pun dapat banyak komen yang positif. Kaca Dan Permata pun semua orang suka sebab lagu yang ‘catchy’.

Saya rasa satu kelebihan bagi saya sebab bernaung bawah syarikat milik Mak Iti (panggilan buat Siti). Jadi memang dari awal memang ada perbincangan nak ada lagu duet dengan beliau.

“Apa-apa pun tak boleh nak elaklah sebab kami ada pertalian darah. Nak buat macam mana kan,” katanya membuka bicara.

UMAI mengakui mula memakai hijab selepas didorong anak Ina Naim iaitu Phryosh Elfadwah yang sering ditemui ketika program Talk To My Manager. – Penata Gaya (NANA CHAH)

Selain ‘cantiknya’ momentum nyanyian yang berada di trek sepatutnya, perubahan paling ketara pada diri pemilik nama lengkap Ummi Umairah Saiful Anuar tahun ini terserlah dengan keputusannya untuk berhijab, sesuatu yang lahir daripada kesedaran dan ketenangan jiwa, bukan paksaan mana-mana pihak.

“Sebenarnya sebelum mula pakai tudung pun, kadang-kadang perkongsian saya sebelum ini pun ada yang bertudung, ada yang tak.

Selepas adik saya habis bertanding, dalam Talk To My Manager (TTMM), saya teman dia berubat semua. Memang tiga hari berturut-turut saya pakai tudung.

“Bila lama-lama, saya rasa macam sudah selesa bertudung. Tapi nak berhijab itu memanglah susah kena niat, istiqamah betul-betul. Jadi benda itu memang saya nak dah lama dah,” ujarnya.

Menariknya, semangat serta inspirasinya untuk menutup aurat sepenuhnya itu hadir daripada anak Ina Naim, iaitu Yosh yang juga adik kepada penyanyi Hadie.

“Saya memang dah lama nak pakai tudung tapi saya fikir balik sebab kita pakai kena betul-betul kan. Jadi, saya rasa inilah waktu yang tepat.

Sebenarnya semasa TTMM, saya rapat dengan adik Hadie iaitu Yosh yang bertudung labuh. Setiap kali kami berjumpa setiap minggu, saya selalu pandang muka dia.

“Dia selalu cakap kat saya, pakailah tudung sebab kadang-kadang saya balik sekolah, ikut mak pergi sound check. Saya bertudunglah sebab dari sekolah.

Yosh kata saya lawa pakai tudung dan saya pun selalu tengok anak Ina Naim pakai tudung, cantik. Dia pun antara orang yang bagi saya semangat. Macam dia selalu puji saya pakai tudung,” jelasnya.

Keputusan Umai untuk berhijab turut mendapat sokongan penuh ibunya, Siti Saerah yang sentiasa menasihati agar tidak terburu-buru selain kuat menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Saya sebenarnya dah lama beritahu mak untuk bertudung, sejak tingkatan satu lagi tapi mak kata, niat betul-betul dulu.

Lagi pun, ibu kata muda lagi, bila saya mula pakai tudung pun ramai kata yang saya masih muda. Macam mereka kata saya tak berseronok.

“Sebenarnya sesetengah orang saja fikir benda itu, tapi saya lebih selesa bertudung. Mak saya pun bagi galakkan dan nasihat.

“Mak kata, tak apa perlahan-lahan, kena istiqamah dan kuat’. Jangan terikut-ikut dengan pengaruh orang,” tuturnya.

SERING berdepan kecaman berkenaan bentuk badan, Umai kini menjalani gaya hidup sihat dengan mengamalkan diet tanpa gula bagi mengekalkan bentuk tubuh yang ideal. – Solekan (ATIENZA SHAHIRA)

Seiring populariti yang semakin meningkat, peserta program Ceria Megastar Ministar itu turut berdepan sisi gelap dunia hiburan iaitu kecaman terutama berkenaan bentuk badan.

“Kecaman paling teruk adalah ‘body shaming’ (sindir badan).

Sabar, saya baru nak membesar. Saya pun sedar badan saya macam mana. Mak saya pun jenis tinggi.

“Banyak kecaman tentang ‘body shaming’ tetapi saya ambil benda itu sebagai pembakar semangat. Kadang ‘down’ juga, kenapa nak beri tekanan, saya baru 14 tahun,” ungkapnya yang kini turut menjaga diet seimbang dalam pemakanan.

Sebagai artis bawah bimbingan Siti, Umai yang pernah meraih pingat emas di Kejohanan Seni Pementasan Sedunia (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Julai 2024 banyak belajar mengenai disiplin dan kekuatan mental dalam dunia hiburan.

“Mak Iti pun bagi tahu, bila nak masuk dalam dunia industri ni, kena kuat mental. Walaupun ramai suka Mak Iti, tapi tetap ada sahaja yang tak puas hati.

Satu benda yang saya suka pada Mak Iti sebab dia kuat. Katanya, kita dah nak masuk sini, benda yang kita minat dan kita buat sebab nak menghiburkan orang.

“Orang yang tak suka itu biarlah. Sebenarnya mereka nak tahu juga tentang kehidupan kita. Biarkan sahaja,” luahnya.

Hal privasi

Selain kerjaya dan penampilan, pelajar sekolah seni itu juga tidak lari daripada dikaitkan dengan permasalahan peribadi berkaitan keluarga.

Umai mengakui tidak gemar apabila kisah peribadinya dikongsi kepada umum serta menjadi bahan perdebatan dalam kalangan netizen.

Saya tak suka kongsi cerita personaliti dan privasi yang mendatangkan cakap-cakap netizen. Biar orang tahu tentang kerjaya, jangan berkaitan keluarga. Sensitiflah.

“Kita tak boleh nak tutup mulut mereka, ada saja benda nak cari. Kalau ada orang datang tanya, saya akan cakap tak ada apa,” jelasnya.

Lahir dalam keluarga seni, Umai bagaimanapun tidak mampu menghalang mulut orang yang gemar bercerita tentang keluarganya.

Kalau orang nak cakap macam-macam fasal keluarga, lantaklah. Biarlah mereka.

“Kita tahu keluarga kita macam mana, mereka orang luar tak tahu apa,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok