Bintang K-pop tauke empayar makanan

NEGARA Korea Selatan bukan hanya tanah lahirnya deretan idola bersuara merdu dan wajah rupawan tetapi menjadi ladang subur bagi insan seni yang tidak gentar menjejak langkah ke medan baharu di luar pentas hiburan.

Dunia glamor mungkin menjadi pelita sementara, namun keharuman aroma masakan ternyata mampu bertahan lebih lama daripada sorakan peminat.

Ramai antara idola K-pop sedar, populariti tidak kekal selama-lamanya. Ada masa di puncak, namun akan tiba juga saat jatuh ke dasar.

Justeru, sebahagian daripada mereka memilih untuk mencorak masa depan dengan menyingsing lengan ke dapur, menceburi dunia kulinari yang menjanjikan kestabilan dan kepuasan berbeza.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan lima bintang Korea Selatan yang bukan sahaja mempesona di pentas seni, namun turut berjaya menambat selera dengan perniagaan makanan masing-masing.

Kim Jong-kook & Haha

Dua wajah ceria rancangan Running Man, Kim Jong-kook dan Haha, membuktikan bahawa mereka bukan hanya tahu mencipta gelak tawa, malah bijak menjana kekayaan melalui cita rasa daging bakar.

Restoran 401 Butche, hasil usaha mereka, kini menjadi antara destinasi BBQ paling popular di Korea Selatan dengan dua cawangan utama di Mapo-gu, dan Hongdae.

Di restoran tersebut, pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan daging seperti beef tongue, grilled steak serta beef stew yang dimasak sempurna.

Selain itu, menu sampingan seperti dongchimi noodles dan telur kukus tradisional Korea menambah seri sajian.

Yesung

Dikenali sebagai vokalis bersuara serak basah, anggota kumpulan Super Junior, Yesung membuktikan sentuhan seninya bukan hanya pada lagu, tetapi juga pada aroma kopi dan estetik kafe.

Kafe Mouse Rabbit miliknya bersama adik, Kim Jong-jin menjadi antara lokasi wajib kunjung buat peminat di Seoul.

Bertemakan gaya Eropah moden, kafe tiga tingkat itu menawarkan keindahan visual yang menenangkan mata dan jiwa.

Setiap tingkat menampilkan nuansa berbeza, seolah-olah membawa pengunjung menelusuri kisah hidup Yesung dari pentas ke ruang santai.

Kafe pertama dibuka berhampiran Universiti Konkuk, dan kerana sambutan luar biasa, sebuah lagi cawangan dibuka di Seochon sekitar 2015.

Ryeowook

Tidak jauh dari kesibukan Seoul, anggota Super Junior iaitu Ryeowook juga membuka kafe bernama Forest For Rest, tempat sinonim jiwa-jiwa penat mencari damai.

Kafe tersebut diilhamkan daripada cintanya terhadap alam dan muzik lembut yang menenangkan.

Dengan pencahayaan hangat serta tona warna tanah, suasana kafe terasa seperti pelukan lembut selepas hari yang panjang.

Dari aroma kopi lembut hingga lagu-lagu klasik yang mengiringi perbualan pengunjung, setiap sudut kafe tersebut juga dihias dengan rasa kasih terhadap alam.

Bagi peminat Super Junior, Forest For Rest seolah-olah menjadi tempat ziarah wajib untuk menjejak sisi peribadi Ryeowook yang tenang dan mendalam.

Kai

Di sebalik persona bertenaga di pentas, anggota kumpulan EXO, Kai menyimpan sisi lembut dan penuh kasih terhadap keluarganya.

Bersama kakak kandungnya, mereka membuka sebuah kafe comel bernama Kamong, gabungan nama ‘Kai’ dan ‘monkey’ simbolik gelaran dua beradik itu terhadap satu sama lain.

Terletak di Seoul, Kamong tampil dengan konsep hitam putih minimalis, ringkas, namun elegan.

Menunya terdiri daripada pelbagai pencuci mulut, pastri dan minuman kopi yang diracik dengan teliti.

Bagi idola berusia 31 tahun itu, kafe tersebut tidak hanya projek niaga, tetapi simbol kasih dan penghargaan terhadap keluarga.

Henry Lau

Henry Lau bukan hanya genius muzik, tetapi juga pencinta makanan sejati. Anggota Super Junior M itu terkenal dengan sifat ceria, kepintaran bermain alat muzik dan bakat mencipta lagu, namun tidak ramai tahu, dia turut handal di dapur.

Kecintaannya terhadap masakan membawanya membuka sebuah restoran berkonsepkan gabungan cita rasa China dan Taiwan, bertempat di Sinsa-dong, Gangnam.

Restoran tersebut mengetengahkan suasana kasual moden, menggambarkan personaliti Henry yang ceria dan penuh tenaga.

Restoran idola berusia 36 tahun itu menjadi tempat pilihan generasi muda untuk bersantai, makan, dan menikmati seni dari sudut berbeza, bukan dari nada muzik, tetapi aroma dapur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok