SIAPA yang tidak lazim dengan filem Dilan 1990, Dilan 1991 dan Milea: Suara Dari Dilan barangkali bukan pencinta karya romantik Indonesia.
Trilogi karya adaptasi novel tulisan Pidi Baiq tersebut pernah mencetuskan fenomena besar di layar perak, meninggalkan kesan mendalam kepada peminat yang masih sukar ‘move on’ walaupun sudah bertahun berlalu.
Selain jalan cerita yang dekat dengan kehidupan remaja, gandingan mantap Vanesha Prescilla sebagai Milea dan Iqbaal Ramadhan (Dilan) turut menjadikan filem tersebut ikonik dengan keserasian yang kelihatan seperti pasangan kekasih sebenar seperti bayangan dalam novel.
Selepas itu, watak Dilan versi mahasiswa pula pernah dilakonkan oleh Arbani Yasiz.
Jika filem pertamanya lebih fokus kepada kerenah ‘crush’ masing-masing, filem kedua membuka lembaran kisah cinta Dilan dan Milea yang di mata mereka, paling agung.
Filem ketiga pula mengisahkan tentang pandangan Dilan terhadap Milea mulai dari hari pertama bertemu hingga saat mereka putus.
Kini, selepas lima tahun, Dilan bakal kembali dengan dua sekuel baharu berjudul Dilan ITB 1997 dan Dilan Amsterdam terbitan Falcon Pictures, juga adaptasi daripada karya Pidi Baiq.
Apa yang perhatian ramai kali ini adalah pemilihan Ariel NOAH sebagai pelakon utama memegang watak Dilan versi dewasa.

ARIEL bersama orang kuat di sebalik projek pembikinan dua sekuel filem Dilan, Dilam ITB 1997 dan Dilan Amsterdam.
Persamaan karakter, aura
Pidi melihat Ariel sebagai individu yang sesuai membawakan Dilan dewasa tambahan dengan auranya yang mengingatkan kepada karakter asal.
“Dari dulu saya rasa Ariel yang paling tepat untuk jadi Dilan.
Kan saya sudah cakap, Ariel memang banyak kelebihannya.
“Selain Ariel, saya sebenarnya tak mahu pilih sembarangan. Tapi entah kenapa, dalam fikiran saya tetap dia juga,” katanya semasa pelancaran filem berkenaan.
Selain karakter dan aura, sebagai pengarah, Fajar Bustomi pula cukup sedar bahawa Ariel dan Dilan memiliki persamaan dari segi minat iaitu suka bermain muzik dan menunggang motosikal.
Sementara itu, Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham mengakui keputusan menerima tawaran berlakon bukan dibuat secara tergesa-gesa memandangkan tugasan ini penampilan pertamanya memegang watak utama.
“Ceritanya agak panjang. Saya dihubungi bukan sekali dua.
Bila diberitahu tentang projek ini, saya terus terfikir ‘wah, ini projek besar’.
“Karakternya pun sudah kuat, jadi tak boleh dibuat keputusan secara terburu-buru, kena fikir betul-betul,” katanya.

MENERUSI watak Dilan, Ariel dapat merasai pengalaman bergelar pelajar seni.
Memandangkan kumpulannya sedang berehat, penyanyi berusia 44 tahun itu juga tidak menolak mengembangkan langkah baharunya dalam dunia perfileman yang didorong minat mendalam terhadap seni lakon.
Saya tak mahu dalam hidup ini hanya dikenali sebagai penyanyi. Lakonan juga satu bentuk seni yang menarik dan saya cintakan seni.
“Rasanya ini antara perkara yang perlu saya cuba selagi masih hidup. Dari dahulu pernah dapat beberapa tawaran berlakon tapi masih ragu-ragu dan banyak pertimbangan,” ujarnya.
Pelantun lagu Menghapus Jejakmu itu mengakui kesanggupan menyahut dua tawaran membintangi dua filem berkenaan sebagai satu bentuk misi peribadi.
Katanya, selepas tamat persekolahan, dia pernah memohon untuk melanjutkan pelajaran di Fakulti Seni Rupa dan Reka Bentuk (FSRD), Institut Teknologi Bandung (ITB), namun tidak berjaya diterima.
Melalui filem ini, saya seolah-olah dapat merasai pengalaman jadi pelajar seni rupa ITB.
“Dulu masa terfikir mahu masuk ke bidang seni rupa, saya bayangkan suasana kampusnya, cara pakaian dan pergaulan.
Tapi semua bayangan itu hilang bila tidak diterima masuk.
“Jadi, ini macam peluang untuk saya hidupkan semula bayangan itu, versi Ariel kalau betul-betul jadi pelajar seni rupa ITB,” jelasnya.
Dengan gabungan pengalaman, bakat dan karisma yang dimiliki, tidak mustahil kemunculan Ariel sebagai Dilan dewasa bakal membawa nafas baharu serta nostalgia tersendiri kepada peminat filem ikonik ini.
Kedua-dua filem tersebut dikhabarkan akan menjalani proses penggambaran bermula Disember depan dan akan ditayangkan di pawagam pada 2026. – HIBGLAM
