VIDEO muzik (MV) terbaharu Dolla berjudul Question yang mencetuskan perdebatan ramai kerana dikatakan terlalu mencolok mata diturunkan dari YouTube selepas mendapat teguran ramai pihak termasuk Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam MV terbabit yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan ini dibuat selepas melakukan penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi dan maklum balas masyarakat.
Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Universal Music Malaysia juga menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sebegini berulang.
Syarikat terbabit juga berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia secara keseluruhan.
Terdahulu, Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Katanya, beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.
Dari sudut tindakan itu kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah, tindakan jenayah syariah dalam penelitian kita,” katanya.
MV terbaharu Dolla juga meraih kritikan daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut.
“Semakin lama semakin parah. Terlalu terbuka, terlalu ghairah, sangat memalukan,” katanya dalam Facebook. – HIBGLAM
