DIANGGAP keterlaluan, babak intim drama Toksik Cinta membabitkan pelakon Keith Foo dan Riena Diana mencetuskan kecaman netizen di laman sosial apabila ramai menyifatkan adegan itu tidak sesuai untuk tontonan umum.
Rata-rata mempersoalkan kewajaran aksi menghairahkan sebegitu terutama di atas katil dijadikan sebagai ‘modal’ dalam sesebuah penerbitan.
“Kenapa cerita Melayu, Islam sekarang banyak yang macam ini. Berkahwin, berzina, berskandal dan bercerai dah jadi trend dan norma,” tulis seorang netizen dalam Instagram.
Pandangan tersebut disokong seorang pengguna laman sosial lain yang menyatakan seolah-olah penerbit tiada tema lain untuk dijadikan bahan drama.
Terdahulu, klip video promo yang dikongsikan dalam laman sosial sebuah saluran perkhidmatan Over-the-Top (OTT) menunjukkan kedua-dua pelakon berkenaan berada di atas katil.
Posisi dan perbuatan mereka yang bermesraan mencetuskan polemik berkenaan tindakan pihak berkaitan dalam memilih kisah bersesuaian untuk tontonan khalayak.
Ramai menzahirkan kekecewaan apabila babak dikongsikan tidak menjaga sensitiviti masyarakat selain berharap pengkarya lebih kreatif dalam menonjolkan adegan tertentu.
Begitupun, pada masa sama ada juga individu yang mendakwa aksi tersebut ‘menjadi’ disebabkan kedua-duanya merupakan pasangan kekasih.
Selain Riena dan Keith, Toksik Cinta turut dibintangi Aqasha, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam.
Mula menemui penonton bermula 27 Oktober lalu, drama berkisar rumah tangga dan jenayah itu turut menonjolkan tema psikologi thriller. – HIBGLAM
