‘Langsung tak guna’ – Billie Eilish hentam Elon Musk

BERANG jutawan dunia Elon Musk kini berstatus trilionair, penyanyi terkemuka antarabangsa Billie Eilish menyeru pemilik saham terbesar Tesla itu menggunakan kekayaannya untuk kebaikan dunia termasuk membina semula Bandar Gaza yang musnah disebabkan peperangan.

Billie atau nama sebenarnya, Billie Eilish Pirate Baird O’Connell, 24, bertindak mengulang siar hantaran di Instagram bertajuk ‘Elon Musk menjadi trilionair pertama di dunia — ini apa yang dia boleh lakukan dengan kekayaan itu.’

Lantang bersuara, pelantun lagu Wildflower itu percaya, Elon boleh mengubah dunia menjadi planet yang lebih baik dengan kekayaan luar biasanya termasuklah mengatasi masalah kebuluran, mencari penawar penyakit, menyelamatkan haiwan yang kini dilanda kepupusan dan menangani kematian materniti selain membangunkan semula Bandar Gaza.

Yakin individu yang berstatus ultra kaya diwujudkan di muka bumi atas tujuan tertentu termasuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sejagat, Billie menyindir dengan mengatakan kebanyakan mereka bertindak sebaliknya dengan mementingkan diri sendiri.

“Pengecut betul, langsung tak guna,” coretnya menerusi hantaran berasingan di Instagram yang difahamkan ditujukan buat individu seperti Elon Musk.

Baru-baru ini, Billie pernah menyindir golongan bilionair secara terang-terangan ketika menerima trofi pada acara WSJ Innovator Awards.

“Kita sedang berada dalam zaman yang sangat, sangat teruk dan gelap… kalau anda ada duit, alangkah baiknya kalau anda gunakannya untuk perkara yang baik dan mungkin beri kepada orang yang memerlukan.

“Saya sayang anda semua, tapi ada beberapa orang di sini yang jauh lebih kaya daripada saya. Kalau anda seorang bilionair, kenapa anda masih bilionair? Tak benci, tapi ya… dermalah duit anda, shorties,” ujarnya.

Bilionair dunia, Mark Zuckerberg (bersama isterinya Priscilla Chan) hadir dalam majlis itu. Zuckerberg duduk di khalayak, manakala Chan menerima penghormatan khas di acara berprestij tersebut

Kemudian dilaporkan Billie menderma sebanyak AS$ 11.5 juta (RM 47.5 juta) daripada hasil konsert konsert jelajahnya Hit Me Hard and Soft Tour ke pelbagai badan amal yang fokus kepada keadilan makanan, keadilan iklim dan pengurangan pencemaran karbon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok