‘Ramai dah berhijrah, jangan tayang semula AF’

TIDAK bersetuju dengan saranan program realiti Akademi Fantasia diulang siar, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Heliza Helmi menegaskan ada sebab tersendiri permintaan tersebut tidak harus dipenuhi.

Heliza atau nama lengkapnya Nur Heliza Helmi berkata ini kerana kebanyakan bekas peserta pertandingan nyanyian membabitkan 13 musim itu terutama wanita sudah memakai tudung.

“Janganlah, ramai dah berhijrah. Jangan ditayang semula ya,” tulisnya dalam ruangan komen di laman sosial.

Terdahulu, di platform Threads tular cadangan seorang pengguna media sosial yang meminta stesen televisyen Astro agar menyiarkan semua 13 musim AF atas alasan rindu memori lalu.

“Kepada stesen berkenaan, tolong siarkan semula rancangan itu dari musim pertama hingga terakhir. Rindu nak tengok diari dan konsert mingguannya.

Saya membesar menonton rancangan ini,” tulis individu itu yang meraih pelbagai respons khalayak.

Terdahulu, pertandingan itu pernah mendominasi industri hiburan tempatan sejak diperkenalkan pada 2003 dengan setiap musim mencetuskan fenomena tersendiri.

Heliza merupakan peserta AF musim lima iaitu pada 2007 seangkatan dengan Mila Jirin selaku juara selain beberapa nama lain termasuk Dafi, Noni Nadirah, Ebi Cornelis dan Aizat Amdam.

AF yang kali terakhir bersiaran pada 2017 difahamkan tidak akan disambung lagi menerusi kenyataan pihak Astro sekitar tiga tahun lalu.

Antara artis digilap di AF ialah Shahir, Akim, Stacy, Hafiz Suip, Hazama, Adira, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Marsha Milan dan Amir Masdi juga juara terakhir AF tahun 2016.

Setahun kemudian diwujudkan pula AF Megastar yang menghimpunkan seramai 24 alumni terbaik sepanjang 13 musim AF bersiaran yang dimenangi Idayu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok