MENGANGKAT pahlawan wanita, kumpulan Cherry On Top tampil dengan single kedua berjudul Srikandi yang mempertaruhkan gabungan elemen tradisional dan progresif rock.
Komposernya, Kusham berkata dendangan yang lirik ditulis Zaira Sham merupakan sebuah karya unik apabila berani menongkah arus menerusi suntikan muzik ektronik moden bagi membolehkan pendengar meraih pengalaman audio lebih dramatik.
“Srikandi mengangkat keberanian pahlawan wanita Melayu, kuat semangat dan berwibawa yang ditonjolkan dalam muzik video lagu ini.
“Jalan cerita Srikandi dicetuskan Zaira Sham yang menterjemahkan keampuhan lirik kepada visual berilustrasi tradisional berlatarkan elemen merah dan emas.
“Manakala sentuhan estetika futuristik bercahaya neon dan elemen digital, melengkapkan naratif dengan menyatukan dunia lama dan masa depan bersama Cherry On Top dalam aura pahlawan moden,” katanya.
Menurut Kusham lagi, Srikandi bukan sekadar lagu semata-mata, malah merupakan gabungan sejarah, semangat perjuangan dan tenaga muzik moden yang progresif.
Kusham juga pengasas One Scream Studio mengakui dendangan segar itu membuatkan pendengar berasa seperti melangkah ke dunia epik yang sarat inspirasi.
Pada masa sama, dia turut memuji tenaga berganda Cherry On Top yang menzahirkan Srikandi sepenuh jiwa bagi menzahirkan semangat juang golongan hawa,” katanya.
Sebelum ini Cherry On Top tampil dengan single berjudul Ketagih yang dialunkan bersama penyanyi dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.
Cherry On Top dianggotai Kuzan, 23, sebagai pemain keyboard, programmer dan vokal, Osama, 24 (gitar), Ayen Tommy, 26 (dram), Holy, 24, (penyanyi utama) serta adik beradik, Didi, 23, dan Bobo, 19, bermain gitar dan bass.
“Kami berbesar hati bernaung di bawah One Scream Studio sebagai artis pertama syarikat ini sekali gus membawa hala tuju jitu untuk tampil bersama dendangan yang diterima pendengar,” kata Osama.
Empat daripada mereka masih mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), manakala Didi mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan.
Osama juga anak Raja Pop Datuk Jamal Abdilllah baru menamatkan pengajian Diploma jurusan muzik di Aswara dan bakal menyambung pengajian Ijazah di tempat sama selepas ini. – HIBGLAM
