ISU bayaran rendah terhadap artis tempatan kembali meledak, kumpulan muzik Caliph Buskers meluahkan rasa terkilan apabila mereka juga masih menerima imbalan tidak setimpal daripada penganjur acara.
Menurut kumpulan tersebut, meskipun sudah sedekad bertapak dalam industri, mereka masih berhadapan dengan segelintir pihak yang memandang ringan terhadap hasil seni dan kerja keras mereka.
“Kalau Caliph letak harga RM3,500 ke atas, biasanya mesti kena palau dengan penganjur. Dengan harga itu pun, bukan makan seorang. Kami kongsi berlapan termasuk kru.
“Itu pun belum tolak kos lain yang perlu diuruskan. Kami bukan menyanyi dua lagu semata-mata, tapi buat persembahan penuh,” katanya dalam Threads.
Tambah Caliph Buskers lagi, ada penganjur sanggup menawarkan bayaran serendah RM800 meskipun mereka perlu membawa pelbagai peralatan sendiri dan melakukan persiapan panjang sebelum naik ke pentas.
“Kami tak guna minus one, tekan ‘play’ terus nyanyi. Kami bawa sendiri gitar, keyboard, bass. Kalau penganjur tak sediakan drum, kami cari sendiri.
“Dah sampai lokasi, kena pasang semua alat, ‘soundcheck’, uji satu per satu. Bila semuanya ok, baru kami uji semula secara serentak untuk dapatkan bunyi terbaik buat penonton. Tapi masih ada juga penganjur sanggup bayar RM800 untuk show di Kedah,” kongsinya.
Pun begitu, kumpulan yang dianggotai tiga ahli itu menegaskan mereka tidak pernah berputus asa walaupun rezeki sebagai anak seni tidak semewah orang lain.
“Alhamdulillah, dah 10 tahun kami dalam industri. Hidup Caliph tak mewah. Tak pernah rasa bercuti ke luar negara, naik kelas bisnes, atau duduk di kondominium mewah.
“Cuma pernah naik pelbagai jenis kereta sebab hari-hari kami naik Grab, kejap Alza, kejap Bezza, kadang-kadang kalau nasib baik dapatlah Honda.
“Kami cukup-cukup makan, kadang sesak sampai terpaksa pinjam. Tapi kami tetap bersyukur sebab rezeki masih ada sampai sekarang,” luahnya.
Sebelum ini, penyanyi Ariff Bahran turut mencetuskan perhatian selepas mendedahkan ditawar hanya RM1,400 untuk menyanyi dua lagu, sekali gus menimbulkan perdebatan tentang kadar bayaran artis tempatan yang dianggap terlalu rendah dan tidak sepadan dengan usaha mereka. – HIBGLAM
