PERNAH menjadi antara bintang muda paling bersinar dalam industri hiburan, penyanyi Ismail Izzani mengakui melalui fasa gelap dalam hidupnya apabila terleka dengan keseronokan dunia sehingga hampir memusnahkan karier sendiri.
Ujar Ismail atau nama sebenarnya, Izzani Zainal Nazeri, 25, zaman remajanya dipenuhi keputusan salah dan pergaulan yang menjerumuskannya ke dalam suasana tidak sihat.
“Mengenang kembali usia remaja, saya akui pernah tersalah langkah. Saya bergaul dengan orang yang salah dan hidup dalam suasana tidak sepatutnya. Selalu bertemu individu hanya mahu berseronok semata-mata.
Ketika itu saya kejutan budaya, yelah ada hidup sendiri, ada duit, kereta sendiri. Tapi saya lupa tujuan asal saya dalam industri muzik.
“Saya terlalu hanyut berseronok hingga hilang fokus terhadap kerjaya,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah pelantun lagu Luar Biasa itu, fasa tersebut membuatkan dirinya hilang arah sehingga terfikir untuk berhenti menyanyi.
“Ada satu tempoh yang sangat sukar, saya sampai terfikir nak berhenti terus. Tapi akhirnya saya sedar, muzik adalah sesuatu yang tak boleh saya tinggalkan. Walau susah macam mana pun, saya tetap akan buat juga.
Saya akui pernah buat kesilapan besar dan saya perlu akui bahawa saya yang merosakkan kerjaya sendiri. Terlalu terbuka, terlalu ikut rasa.
“Sampai satu tahap, orang mula menilai saya sebagai individu jahat tanpa mengenali siapa saya sebenarnya,” luahnya.
Lebih menyedihkan, anak kepada penyanyi era 1980-an, Suliza Salam itu mendedahkan dirinya pernah disenarai hitam oleh beberapa penganjur acara, sekolah dan universiti atas alasan memberi pengaruh buruk kepada remaja.
Waktu itu memang saya terduduk. Ramai pihak tak mahu ambil saya sebab kononnya saya beri pengaruh negatif. Jadi saya berhenti seketika, ambil masa dua tahun untuk belajar dan muhasabah diri.
“Saya sedar, saya jenis manusia yang belajar melalui kesilapan. Walaupun sakit, semua itu buat saya lebih matang dan berhati-hati,” jelasnya
Katanya, titik perubahan terbesar berlaku apabila kontraknya ditarik dan peluang persembahan makin berkurangan membuatkannya terduduk dan muhasabah diri.
Saya mula hadkan penggunaan media sosial, tak kongsi banyak perkara. Saya lebih fokus untuk jaga emosi dan kesihatan mental. Alhamdulillah, sekarang saya rasa lebih baik.
“Saya belajar daripada masa lalu dan cuba bina masa depan yang lebih baik.
“Saya mahu jadi lelaki yang bertanggungjawab, mampu jaga keluarga, bukan hanya membuktikan sesuatu kepada orang lain, tapi kepada diri sendiri,” tuturnya
Terdahulu, nama Ismail sering meledak dengan pelbagai kontroversi termasuk isu berpelukan dengan seorang pelakon wanita di kelab malam selain dikaitkan dengan dakwaan sudah berkahwin secara rahsia selepas dituduh menghamilkan seorang gadis. – HIBGLAM
