MENITI hampir dua dekad dalam dunia seni, nama Nadiya Nisaa terus mekar sebagai aktres berbakat besar.
Dia pelaku seni tulen, tidak berdiri atas nama glamor semata-mata, namun setiap gerak lakonnya berbisa dideretkan karakter disulamkan emosi, dijahitkan penghayatan hingga meninggalkan bekas dalam memori khalayak.
Di luar studio, Nadiya tampil sebagai ibu penyayang kepada dua cahaya mata. Dalam kelembutan tutur, terselit kekuatan didikan, memupuk anak-anak agar membesar dalam ruang penuh nilai serta adab dan kesedaran sosial.
Bagi pemilik nama sebenar Nadiyatul Nisaa Kamaruddin itu, mendidik zuriat bukan sahaja tentang akademik, sebaliknya membentuk hati jernih dan akal sihat.
Hatinya tercarik melihat peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja, seakan-akan generasi muda terumbang-ambing di lautan gelap tidak berbintang.
Belum hilang rasa ngeri khabar tragedi seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam rakan lelaki 14 tahun, muncul pula kisah pilu seorang pelajar tingkatan tiga di Alor Gajah didakwa menjadi mangsa serangan seksual bergilir-gilir oleh dua pelajar senior.
Hati mana tidak remuk melihat masa depan si kecil sebegitu tergadai? Semua itu seperti jeritan generasi kini yang semakin hilang pertimbangan.
Melihat keadaan sosial sebegitu, aktres berusia 40 tahun itu mengaku hatinya dilanda gelisah, namun dia enggan menuding jari ke luar sebelum meneliti cermin dalam rumah sendiri.
Apabila melihat apa yang berlaku di negara hari ini, saya kembali mentafsir diri sebagai ibu. Saya tengok keluarga, saya renung anak-anak, saya nilai apa saya hidangkan kepada mereka. Buku, telefon, televisyen, majalah, semua itu saya tapis terlebih dahulu.
“Jujurnya saya tidak suka menuding jari. Bukan kepada stesen TV, bukan kepada pencipta kandungan. Fokus saya pada kita, ibu bapa, orang dewasa. Tanggungjawab ini bermula dari rumah,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut, bintang filem Mencari Ramlee itu mengakui bukan mudah membesarkan anak meningkat remaja dan disebabkan itu peraturan penggunaan peranti digital dalam rumahnya sangat ketat.
“Anak kecil saya enam tahun, memang langsung tidak diberi telefon atau tablet sendiri. Kalau dia mahu guna telefon, saya akan jelaskan, ‘ini sahaja boleh tonton’.
Untuk anak 14 tahun pula, fasa kita menjadi kawan. Sangat mencabar. Jadi saya dan suami berbincang selalu. Apa nak cakap, macam nak tegur, semua dirancang. Malah kami minta dia log masuk akaun media sosial pada telefon kami,” kongsinya.
Paling penting katanya, segala yang diterap melalui pelbagai usahanya dalam mendidik itu bukanlah berlandaskan curiga mahupun sengaja bersifat diktator, tetapi dek sayang dan cinta.
“Didikan ini kerja sepanjang hayat. Nak ajar solat, setahun. Nak ajar guna media sosial, setahun juga. Bila mula umur 12, kita harap umur 13 dia mula celik, bukan celik teknologi sahaja, tetapi celik akhlak dan empati.
Setiap hari saya berbual dengan anak sulung saya. Saya sentiasa nasihat. Kalau dia dibuli, atau nampak kawan dibuli, dia mesti ada belas (kasihan) untuk membantu. Saya sangat menentang buli dan serius soal ini,” tegasnya.
Tambah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu, komunikasi menjadi akar dalam mendidik anak-anak selain mendoakan agar ibu bapa kekal tabah membesarkan zuriat pada era yang serba canggih.
“Saya doakan ibu bapa tabah membesarkan anak-anak. Bukan mudah mahu melalui semua itu. Apapun, komunikasi sangat penting.
Saya bukan nak kata keluarga saya sempurna, kami pun ada masalah, tapi kami pilih untuk bercakap. Setiap keluarga ada cara, ini cara kami,” tutupnya.
Dalam perkembangan lain, Nadiya bakal muncul dalam telefilem Bisikan Qarin yang bersiaran pada 9 November 2025, Ahad, 9 malam di TV AlHijrah.
Selain Nadiya, karya itu menampilkan pelakon hebat antaranya Ashraf Muslim, Intan Ladyana, Fezrul Khan serta Rashidah Jaafar. – HIBGLAM
