KONFLIK rumah tangga semakin panjang dan rumit, isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah mendakwa wujudnya orang ketiga yang terlalu menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anaknya.
Malah, pemilik nama lengkap Afifah Hidayah Ahmad Tawfek meluahkan rasa terkilan apabila individu luar berkenaan seolah-olah mahu mengambil tempatnya sebagai ibu kepada anak-anaknya.
“Bolehkan masing-masing sayang anak sendiri? Bibik ada anak sendiri, orang ketiga pun ada anak sendiri.
“Tak perlu berebut sangat anak saya. Tapi kalau kahwin orang muda bolehlah buat anak baru.
“Kita ini bukan ibu tumpang tau, itu anak-anak saya. Tak perlu sayang beria sangat wahai orang luar,” luahnya dalam Threads.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi buruk mengenai Afifah dan menjadi perbincangan dalam Threads.
Afifah kemudian tampil merayu untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku demi menjaga perasaan dan maruah anak-anak.
Minggu lalu, Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan menetapkan 26 November sebagai tarikh sebutan kedua merekod persetujuan hasil perbincangan plaintif dan defendan.
Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.
Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – HIBGLAM
