Bentuk anak kenal Tuhan sejak kecil, itu cara kami – Neelofa

PASANGAN suami isteri terkenal, Ustaz Muhammad Haris Mohd. Ismail atau PU Riz dan Neelofa, terus memperkukuh peranan mereka sebagai ikon keluarga Islam moden apabila melancarkan buku terbaharu berjudul Bilal x Mommy Hana, hasil kolaborasi bermakna yang menekankan kepentingan pendidikan berteraskan nilai ketuhanan untuk kanak-kanak.

Majlis pelancaran yang berlangsung di AEON Tebrau, Johor Bahru itu mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung, mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap usaha memperkasa pendidikan anak-anak melalui pendekatan yang menyeronokkan dan mendidik.

Menurut PU Riz, 30, buku itu bukan sekadar bacaan ringan, tetapi satu medium untuk memupuk kecintaan kepada ilmu dan Allah SWT sejak usia kecil.

“Buku Bilal x Mommy Hana ini kami setuju jalinkan kerjasama kerana Bilal sendiri mendapat banyak manfaat daripadanya. Melalui buku ini, dia belajar membaca al-Quran dan mengenal nama-nama binatang dalam bahasa Inggeris,” katanya.

PU Riz berkata, projek ini bukan kerjasama duta, sebaliknya kolaborasi perniagaan yang mempunyai matlamat mendalam terhadap pembangunan sahsiah anak-anak.

Tujuan utama kami adalah untuk mengangkat institusi pendidikan kanak-kanak agar mereka mengenal Tuhan di usia muda. Pendidikan bukan hanya mengenai akademik, tetapi juga membentuk hati dan akhlak,” katanya.

Menariknya, sempena pelancaran itu, PU Riz dan Neelofa turut memberikan RM15,000 kepada pengunjung yang berjaya menyambung ayat al-Quran, menjadikan majlis itu bukan sekadar acara pelancaran buku, tetapi juga medan dakwah yang menginspirasi masyarakat untuk mendekatkan diri kepada al-Quran.

Sementara itu, Neelofa turut berkongsi rasa syukur dan bangga dengan penerbitan buku ini yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar mereka membesarkan anak sulung, Muhammad Bilal.

“Sebagai ibu, saya percaya pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Buku ini sangat dekat di hati kerana ia menggambarkan cara kami mendidik Bilal iaitu dengan kasih sayang, nilai Islam dan aktiviti yang menyeronokkan.

“Saya berharap ia dapat membantu ibu bapa lain membentuk anak-anak mengenal Tuhan sejak kecil,” katanya.

Buku Bilal x Mommy Hana menggabungkan elemen pendidikan Islam, bahasa, dan pembelajaran interaktif, dengan rekaan mesra kanak-kanak yang menarik perhatian pembaca kecil.

Ia dihasilkan bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak melalui pendekatan yang holistik dan penuh kasih sayang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok