PERGOLAKAN antara artis dan agensi bukan perkara baharu dalam dunia K-Pop, namun 2025 menyaksikan beberapa selebriti lantang memperjuangkan hak mereka.
Dengan adanya media sosial, isu dalaman yang dahulunya dikunci kemas kini mudah terbongkar.
Selebriti tidak lagi berdiam diri apabila berdepan ketidakadilan dalam perkara membabitkan kontrak, tekanan kerja ekstrem, gangguan privasi sehinggalah eksploitasi imej dan hak cipta.
Mereka menyuarakan kepincangan itu dalam media sosial, malah ada terpaksa menggunakan saluran undang-undang untuk menegakkan hak mereka.
Berikut merupakan lima kes besar membabitkan artis dan agensi yang hangat diperkatakan di Korea Selatan.
EXO

AHLI kumpulan EXO iaitu Chen, Baekhyun dan Xiumin kembali menjadi tumpuan apabila memfailkan aduan rasmi terhadap SM Entertainment berhubung isu royalti serta kontrak tidak telus.
Mereka mendakwa SM masih gagal membayar hasil pendapatan digital dan persembahan seperti yang dijanjikan dalam perjanjian semakan semula kontrak.
SM pula menafikan dakwaan tersebut dengan menuduh trio itu cuba melanggar perjanjian yang dipersetujui tahun lalu.
Konflik itu mengingatkan ramai kepada pergaduhan lama antara artis dan agensi gergasi yang seakan berulang dalam pelbagai generasi K-Pop.
NewJeans

KUMPULAN gadis popular NewJeans menjadi tajuk utama dunia hiburan apabila mereka memfailkan permohonan membatalkan kontrak bersama agensi ADOR, anak syarikat kepada HYBE Corporation.
Lima ahli kumpulan itu iaitu Minji, Hanni, Danielle, Haerin dan Hyein mendakwa mereka berdepan pengurusan tidak adil serta tekanan kerja toksik.
Begitupun, pada 31 Oktober lalu mahkamah Seoul memutuskan kontrak mereka masih sah sehingga 2029, sekali gus menolak permohonan pembatalan tersebut.
Kes itu mencetuskan perdebatan hangat mengenai hak artis dan kuasa mutlak agensi hiburan dalam industri K-Pop.
FIFTY FIFTY

BIARPUN bermula pada 2023, isu FIFTY FIFTY masih menjadi sorotan ramai apabila tahun ini mahkamah tahun ini menolak permohonan terakhir ahli kumpulan untuk keluar daripada kontrak dengan ATTRAKT Entertainment.
Kes tersebut mendedahkan sisi gelap pengurusan yang dikatakan mengeksploitasi artis baharu dan terlalu mengawal.
Meskipun kumpulan itu kini tidak aktif, kes mereka membuka mata ramai tentang perlunya pembaharuan undang-undang dalam industri hiburan Korea.
LE SSERAFIM

KUMPULAN LE SSERAFIM dilaporkan mengalami tekanan berikutan jadual jadual yang terlalu ketat serta campur tangan berlebihan pihak pengurusan dalam urusan peribadi ahli.
Sumber dalaman menyatakan beberapa ahli mula menunjukkan tanda-tanda keletihan mental dan fizikal, namun agensi Source Music menafikan wujud sebarang konflik serius.
Meskipun belum disahkan secara rasmi, khabar angin tersebut mencetuskan perbincangan hangat tentang tekanan dihadapi idol wanita muda dalam industri K-Pop moden.
IVE

KUMPULAN wanita popular IVE turut menjadi bualan selepas agensi mereka, Starship Entertainment mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik perniagaan kecil bernama Ive Leather Goods.
Meskipun tindakan tersebut bersifat perlindungan cap dagang tetapi menimbulkan kemarahan ramai peminat yang menyifatkannya sebagai tindakan keterlaluan dan tidak beretika.
Selepas menerima kecaman, Starship akhirnya menarik balik saman selain mengeluarkan kenyataan maaf secara rasmi.
Insiden terbabit menunjukkan bagaimana kesilapan strategi pengurusan boleh memberi impak besar terhadap imej artis. – HIBGLAM
