‘Mohon maaf, yang teruk, tidak beradab itu saya’

DITEGUR akibat mempersoalkan ketiadaan petugas kaunter sebuah klinik kesihatan tanpa usul periksa, pelakon Nadzmi Adhwa tampil memohon maaf atas kekhilafan dilakukan.

Nadzmi atau nama lengkapnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, mengakui ketelanjuran kata yang dikongsi di laman sosial mencetuskan perdebatan netizen.

“Andai ada tersalah kata tersalah bicara, saya mohon maaf.

Semua yang baik itu dari Allah, yang buruk, teruk tak beradab itu daripada saya.

“Mohon maaf seikhlas hati,” tulisnya dalam perkongsian di platform Threads.

Menerusi hantaran terawal, Nadzmi memuat naik video keadaan kaunter sebuah klinik kesihatan yang lenggang bersama kapsyen ‘mengundang’.

Kaunter ada lima, semua tutup. Oh, tengah makan tengahari rupanya. Ini bukan contoh, ini betul-betul,” tulisnya.

Bagaimanapun, kedua-dua hantaran tersebut sudah diturunkan Nadzmi yang juga suami kepada pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana itu.

Susulan itu, ramai mengecam perbuatan yang disifatkan netizen seolah-olah seperti disengajakan.

Perkongsian Nadzmi itu turut menerima respons daripada seorang petugas klinik berkenaan yang mempersoalkan motifnya berbuat demikian.

Rasanya abang sendiri tanya saya tadi sekarang waktu ‘lunch’ ke? Saya sudah beritahu kami masih rehat. Pukul 1.30 petang baru kaunter buka semula.

“Tetapi apa motif kenyataan dengan video itu? Jawapan saya masih tidak memuaskankah?” tulis petugas terbabit di Threads.

Hantarannya turut mendapat maklum balas suami kepada pelakon Ummi Nazeera iaitu Dr Izzar Anwari Abdul Khani.

“Dah nak 2026 tapi masih ada yang petik kaunter di fasiliti kesihatan tiada staf pada waktu rehat tengah hari?

“Kaunter hospital (bahagian kecemasan): Staf tengah uruskan kes kecemasan. Syukur anda masih mampu menunggu sambil ambil gambar kaunter.

Kaunter Klinik Kesihatan: Staf tengah rehat, makan atau solat. Mereka juga manusia. Perlu rehat,”tulisnya.

Selain itu, Dr Izzar juga berharap seluruh petugas kesihatan dapat menerapkan kesabaran yang tinggi dalam menyantuni setiap ragam individu yang hadir mendapatkan rawatan.

“Kepada semua petugas kesihatan, memang kita sentiasa diuji dengan ketidakpuasan hati individu-individu yang membuat komen tanpa usul periksa hal sebenar (tabayyun).

Takpa, itu masalah mereka. Yang penting kita sendiri, rakan sekerja, serta bos tahu apa kita buat itu tak salah. Sentiasa ikhlaskan diri dalam bekerja.

“Biarlah apa orang nak kata. Yang penting, kita cari rezeki yang halal untuk keluarga kita. Kita tak boleh ubah mereka tapi kita ubah mentaliti kita. Bertabah semua. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, pelakon drama Mencari Kiblat itu antara selebriti yang aktif bersuara mengenai isu semasa menerusi laman sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok