Bisikan Qarin, dakwah dalam degupan seram

STESEN televisyen TV AlHijrah terus memperkukuh jenama sebagai peneraju kandungan Islam moden menerusi telefilem terbaharu berjudul Bisikan Qarin, yang bakal menemui penonton pada 9 November ini, jam 9 malam.

Menariknya, karya arahan Ayie Mustafa itu memecah kebiasaan dengan menggabungkan elemen seram psikologi dan pengajaran rohani, menjadikannya naskhah unik yang bukan sekadar menakutkan, tetapi membangunkan jiwa.

Dibintangi oleh Ashraf Muslim dan Nadiya Nisaa, telefilem itumengetengahkan tema tentang bisikan syaitan iaitu qarin yang menguji kekuatan iman manusia, namun tetap berpaksikan nilai Islam serta pendekatan realistik.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, penerbitan Bisikan Qarin merupakan sebahagian daripada strategi besar stesen itu untuk menarik minat penonton muda tanpa mengorbankan prinsip syariah.

“Kami mahu buktikan kandungan Islamik juga mampu disampaikan secara kreatif dan kontemporari.

“Bisikan Qarin membawa mesej akidah dalam bentuk hiburan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

“TV AlHijrah kini aktif berkolaborasi dengan pengarah dan pelakon berpengalaman bagi mempertingkat mutu produksi Islamik tempatan,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Zulkarnaen, karya itu menjadi manifestasi pendekatan dakwah baharu, segar, relevan dan menyentuh nurani penonton.

“Kami mahu kekal sebagai platform yang menggabungkan hiburan dan ilmu.

“Telefilem ini akan ditayangkan di platform AlHijrah Plus (OTT) tiga hari sebelum muncul di kaca televisyen.

“Inilah bentuk dakwah baharu yang boleh ditonton, difahami dan dirasai bersama,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pematuhan Syariah TV AlHijrah, Syed Ali, menjelaskan bahawa setiap skrip dan babak dalam Bisikan Qarin telah melalui penilaian ketat bagi memastikan elemen seram tidak melampaui batas syariat.

“Genre seram mencabar bagi kami sebagai stesen penyiaran Islamik.Walaupun kami mahu patuh 100 peratus kepada syariah, produser tetap diberi ruang untuk berkreativiti dalam lingkungan yang dibenarkan.

“Banyak babak terpaksa dipotong kerana perlu mematuhi garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Unsur seram hanya digunakan untuk menggambarkan bisikan syaitan terhadap manusia,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penampakan unsur tahayul dan hantu tidak boleh digambarkan secara berlebihan walaupun menggunakan teknik solekan atau kesan khas.

“Garis panduan ini penting agar tidak menimbulkan kekeliruan akidah. Penggunaan solekan atau kesan khas dibenarkan, tetapi mestilah sederhana. 

“Tujuannya sekadar membangunkan suasana seram melalui cahaya, bayangan atau bunyi, bukan imej menggerunkan,” kongsinya.

Bagi pengarahnya, Ayie Mustafa, naskhah ini bukan semata-mata tentang ketakutan, tetapi perjuangan spiritual manusia melawan hawa nafsu.

“Saya tidak mahu penonton hanya takut, tetapi juga berfikir.

“‘Qarin’ dalam kisah ini bukan sekadar makhluk ghaib, sebaliknya simbol kepada bisikan dalaman yang sering menjerumuskan manusia ke jalan salah,” ujarnya.

Ayie mengakui kekangan syariah sedikit mengehadkan kreativiti, namun dia tetap bersyukur kerana mesej utama dapat disampaikan dengan jelas dan jujur.

“Kalau ikut kepuasan, memang saya nak tonjolkan lagi setiap watak agar benar-benar ‘hidup’. Tapi kita ada batas yang perlu dihormati.

“Mungkin selepas ini, kalau diberi peluang, saya akan cuba lagi dengan pendekatan yang lebih matang,” jelasnya.

Naskhah Bisikan Qarin menampilkan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Nadiya Nisaa, Intan Ladyana, Fezrul Khan dan Rashidah Jaafar. 

Telefilem terbitan Sha’s Media Sdn. Bhd. ini bakal menemui penonton pada 9 November, jam 9 malam di TV AlHijrah yang menjadi sebuah dakwah dalam bentuk sinema yang menggugah iman dan menenangkan roh.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok