Nubhan fail hadanah, peguam harap selesai secara baik
BELUM selesai hal perceraian, penyanyi Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan) tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, terhadap isterinya Dr. Afifah Hidayah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.
Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Mohd Redzuan Ramli, Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.
“Hari ini, selesai sebutan pertama tuntutan hadanah saya dengan pihak peguam mewakili Dr. Afifah bersama pihak pendaftar bagi mendapatkan satu tarikh lagi untuk kedua pihak berbincang serta cuba selesaikan secara baik.
Nubhan hari ini tak dapat hadir sebab ada urusan kerja dan dia okey untuk selesaikan secara baik dengan pihak defendan.
“Insya-Allah pada masa akan datang kita harapkan ada persetujuan antara dua belah pihak. Sama-sama doakan agar segala urusan dipermudahkan selain meraikan semangat untuk sebarang perbincangan,” katanya kepada HibGlam, hari ini.
Tambahnya, terdapat komunikasi antara pihak plaintif dan defendan mengenai urusan penjagaan anak dan tiada sebarang masalah antara mereka.
“Setakat ini tidak timbul sebarang isu dalam urusan berkaitan penjagaan anak dan sebagainya.
Antara yang akan dibincangkan dan ditentukan nanti seperti hak bermalam bersama dan lawatan hari raya. Kami akan bincang serta rekod sebelum dimuktamadkan.
“Jadi, dalam masa terdekat ini, kami cuba bincang secara baik.
“Nubhan dan Afifah perlu hadir untuk rekod kalau ada persetujuan nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Afifah iaitu Puteri Ummi Kartini menambah, kedua-dua pihak ketika ini meletakkan hal berkaitan anak-anak sebagai prioriti utama.
“Jadi untuk isu anak, Afifah dan Nubhan masih berkomunikasi. Mereka boleh bertolak ansur dan berkompromi.
Dari segi undang-undang, yang lebih baik dan paling layak adalah ibu cuma ada beberapa faktor lain yang menyebabkan bapa memfailkan tuntutan.
“Sejak hari pertama, anak guam saya memang nak pastikan anak-anaknya memiliki figura seorang bapa dan ibu sebab kedua-duanya diperlukan,” jelasnya.
Mahkamah juga hari ini menetapkan tarikh untuk sebutan kedua merekod persetujuan hasil perbincangan plaintif dan defendan adalah pada 26 November depan.
Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.
Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – HIBGLAM
