PELAKON dan pengarah, Nam Ron mengakui pernah melalui fasa hidup penuh ujian apabila kerap menemui wang serta barang berharga di jalanan, namun akhirnya memahami setiap tindakan ada balasannya.
Ujar Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 55, pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam sehingga membuat dirinya tidak berani lagi mengambil apa-apa barang ditemui, meskipun jumlahnya besar.
“Saya tidak berani ambil hak orang lain lagi. Tuhan ajar saya dengan cara cukup halus, tapi melekat dalam hati.
Dulu saya ada ‘kelebihan’ yang sebenarnya ujian. Setiap kali tak cukup duit tambang bas, saya cuma perlu cari di kaki lima atau longkang. Selalunya saya jumpa,” katanya dalam hantaran Facebook.
Tambah pelakon Qifarah itu, jumlah wang dijumpai semakin besar seiring masa, namun diikuti pula ujian lebih berat.
“Saya perasan makin lama, makin besar jumlahnya. Dari syiling kepada duit kertas, dari rantai perak sampai rantai emas.
Tapi setiap kali saya ambil, saya akan kehilangan lebih besar. Jumpa RM1, nanti hilang RM10. Jumpa RM10, hilang RM50. Macam itu seterusnya,” ujarnya.
Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) itu berkata, selepas menyedari kesilapan, hatinya tertutup daripada mengambil apa sahaja barang jalanan dan memilih untuk mengembalikan rezeki bukan miliknya.
Menceritakan ujian paling besar, Nam Ron mengimbas detik ketika menemui plastik berisi wang dianggarkan bernilai ribuan ringgit dalam keadaan hidup serba kekurangan.
“Selepas saya sedar, saya tak berani ambil lagi walau besar mana jumlahnya. Saya tahu apa balasan menanti, sebab saya dah lalui berkali-kali.
Saya pernah jumpa duit dalam beg plastik, separuh penuh, anggaran ribu-ribu. Masa itu hidup saya sangat susah, tak ada duit, lapar pun ya.
“Tapi saya tak sentuh. Saya serahkan pada pemilik restoran tomyam berhampiran. Bila dia mengaku itu miliknya, saya terus berlalu sambil dengar suasana kecoh,” kongsinya.
Paling penting kata Nam Ron, selepas episod penuh ‘plot twist’ itu, rezekinya mula terbuka perlahan-lahan.
“Itu ujian terakhir. Lepas kejadian itu saya sudah jarang diuji begitu.
Tak lama kemudian, saya dapat tawaran jadi tutor di ASWARA. Selebihnya hanya tinggal sejarah,” jelasnya.
Hantaran tersebut mencuri perhatian ramai yang memuji prinsip aktor itu kerana menolak rezeki tidak halal, meskipun ketika hidup sukar.
Rata-rata netizen menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peringatan supaya tidak mengambil hak orang lain, selagi mampu menjaga hati dan maruah sebagai manusia beriman. – HIBGLAM
			        