‘Pelik! Lori meragam, kru muntah setiap pukul 2 pagi’ 

BIKIN kisah aksi namun pengarah filem Banduan, Kroll Azry mengakui berdepan gangguan misteri ketika menjalani penggambaran membabitkan babak lori yang digunakan sebagai props utama sekitar April lalu.

Katanya, lori yang dibeli di Kelantan untuk tujuan ‘dilenjan’ bagi melengkapkan naratif cerita itu pada awalnya berfungsi dengan baik tetapi berulang kali meragam ketika penggambaran bermula di sebuah set di Pulau Carey.

“Penggambaran filem yang diadaptasi dari filem pecah panggung Tamil ini banyak pada waktu malam. Awalnya keadaan lori ini okey sahaja, cuma selepas banyak kali meragam pada waktu sama iaitu pukul 2 pagi, memang kami pelik.

“Ikutkan dalam cerita ini banyak babak membabitkan pelakon utama, Datuk Aaron Aziz menaiki lori itu. Kalau boleh memang nak sekali jalan (rakam) sahaja agar nampak lebih hidup.

Pelik sebab enjin akan mati setiap pukul 2 pagi. Kita pula ‘shoot’ Banduan ini bermula pukul 8 malam. Kawasan shooting di kebun kelapa sawit dan kebanyakannya lokasi di Klang terutama di Pulau Carey,” katanya.

Bagi memastikan jadual penggambaran tidak terjejas, kru berikhtiar membawa mekanik untuk membaiki jentera terbabit selain memanggil ustaz.

“Risau sebab lori ini props utama. Nak tak nak, kena baiki. Bukan tak mahu sewa atau gunakan lori lain, cuma kena jaga konti. Melihat suasana pelik, kita cari alternatif lain dengan menggunakan khidmat ustaz serta pelbagai lagi kaedah.

Pasukan kru juga solat di set tersebut. Agak mencabar kesabaran dan disebabkan masalah itu banyak babak terpaksa diubah.

“Selepas lori, kita ‘shoot’ pula guna van. Tetap hadap isu sama (tak boleh start) setiap pukul 2 pagi. Memang misterilah waktu itu,” katanya ketika ditemui selepas tayangan istimewa Banduan di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Menurut Kroll lagi, produksi kerugian hampir RM50,000 apabila lori terpakai itu tidak boleh digunakan walaupun selepas dibaiki termasuk menukar beberapa komponen.

Di bengkel semuanya okey, boleh pula bergerak. Bila dihantar semula ke set, langsung tak boleh ‘start’. Mungkin bukan rezeki kami. Tempat yang kami jalani penggambaran juga barangkali ‘keras’ sebab ada kru jatuh sakit dan muntah-muntah.

“Kejadian juga berlaku pada waktu serupa iaitu pukul 2 pagi. Sampaikan penduduk sekitar yang kasihankan kami bantu panggilkan pengamal perubatan setempat,” ujarnya.

Terdahulu, versi asal filem Banduan yang berjudul Khaiti lakonan Karthik Sivakumar pernah mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di India pada 2019.

Diterbitkan Number Twenty One Media, Banduan turut dibintangi Datuk Afdlin Shauki, Datuk Rosyam Nor serta Fadhli Masoot. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok