‘Dihalang nyanyi satu-satunya lagu popular, saya sedih’

PENYANYI Indonesia yang juga peserta Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Shae mendedahkan dia dilarang menyanyikan lagu popularnya, Sayang sejak empat tahun lalu.

Disebabkan itu juga dia tidak dapat menyanyikan lagu yang pernah mencipta fenomena di Malaysia sekitar 2012 itu sewaktu sidang media GV12 dan konsert minggu pertama yang berlangsung semalam.

Menurut Shae atau nama sebenarnya Sheryl Gething, 31, dia kecewa dengan situasi itu kerana Sayang merupakan satu-satunya lagu yang membuatkan dia dikenali ramai.

“Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa saya tidak menyanyikan Sayang kerana lagu itu sangat popular di beberapa negara.

Siapa sahaja yang tidak kecewa apabila satu-satunya lagu popular yang kita ada tidak dibenarkan dinyanyikan dalam mana-mana acara kerana isu undang-undang.

“Saya sangat sedih dengan situasi ini. Rasa seperti karier nyanyian saya sudah berakhir,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert minggu pertama GV12, semalam.

Kongsinya lagi, dia telah menjelaskan situasi sebenar kepada pihak Astro malah memberi nombor peguamnya untuk perbincangan lanjut agar lagu Sayang boleh dipersembahkan pada konsert minggu pertama biarpun dinyanyikan orang lain.

“Saya okey sahaja jika artis lain yang menyanyikan lagu ini. Apa yang saya peduli adalah apa yang penting untuk GV12,” jelasnya.

Pada konsert minggu pertama yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA) semalam Shae mendendang lagu Rindu dan diakhiri dengan Sayang dinyanyikan hos GV12,  Sherry Al-Hadad dan Nabila Ahmad.

Turut diundang bersamanya ialah Bobo yang pernah viral menerusi video tarian lagu Sayang sekitar 13 tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok