‘Sudah sebati, 60 peratus diri saya ialah Kahar’

PELAKON Amir Ahnaf menyifatkan watak Kahar menerusi drama bersiri Project High Council dan filem Kahar: Kapla High Council memberi impak besar apabila berjaya menggenggam trofi Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung malam tadi.

Menurut Amir atau nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 25, watak Kahar adalah sebahagian daripada dirinya.

“60 peratus daripada diri saya ialah Kahar. Saya rasa Ibarat membawa diri saya sendiri ke dalam layar.

Pada awalnya saya tak sangka watak ini akan meninggalkan kesan di hati penonton kerana Kahar bukan watak utama dalam drama bersiri. Mierul Aiman and Nadhir yang merupakan watak utama.

“Saya bersyukur kerana bukan saya seorang yang naik menerusi naskah ini, tetapi juga kawan-kawan saya yang lain,” katanya ketika ditemui di sidang media FFM34, semalam.

Tambah pelakon yang bakatnya dicungkil menerusi program Pencarian Hero Remaja 2021/2022 itu lagi, dia merasakan tidak layak naik ke pentas bagi menerima anugerah tersebut dan disebabkan itu membawa teman baiknya, Fadhli Masoot yang juga calon bagi kategori Pelakon Lelaki Harapan.

“Saya rasa tak layak naik ke atas pentas seorang diri, sebab itu saya bawa kawan saya iaitu Fadhli Masoot.  Lagipun dia pesaing terdekat saya.

Memang dari awal lagi kejayaan Kahar adalah disebabkan watak Fadhli Masoot. Dia banyak membantu saya untuk menjayakan karakter ini,” kongsinya.

Selain Amir dan Fadhli, tiga lagi pelakon yang dicalongkan bagi kategori itu ialah Hun Haqeem, Vijay Ganesh dan Koh Teng Just.

Bagi kategori Pelakon Harapan Wanita pula, trofi tersebut menjadi milik pelakon kelahiran Sarawak, Michelle Lungan menerusi lakonannya dalam filem Tegkang.

FFM34 menyaksikan Babah dinobatkan sebagai filem terbaik dan membolot lima lagi anugerah lain iaitu Pengarah Harapan (Shah Faizul) Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali) Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok