Pelakon Terbaik FFM34 milik Qi Razali, Sweet Qismina

Lakonan meruntun emosi dalam filem Babah melayakkan dua bintang utamanya iaitu Qi Razali dan Sweet Qismina membawa pulang trofi Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di sini, hari ini.

Qi atau nama penuhnya, Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata, dia mendedikasikan kemenangan tidak terjangka tersebut kepada semua lelaki bergelar bapa di luar sana.

Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan Babah.

“Kemenangan ini untuk semua babah di luar sana. Semua babah hebat,” katanya.

Kemenangan tersebut sekali gus mengenepikan empat lagi finalis iaitu Aeril Zafrel (Laknat) Beto Kusyairy (Reversi), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM33 pula menjadi milik Sweet Qismina menerusi filem Babah arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim.

Menurut Sweet atau nama penuhnya Farhanna Qismina Supandi, 28, dia tidak pernah menyangka dengan kemenangan tersebut termasuk menewaskan empat lagi pelakon senior dalam kategori tersebut.

“Syukur ya Allah, terima kasih kepada FFM dan pihak juri serta seluruh produksi filem Babah. Ini trofi pertama saya sejak bergelar pelakon selepas dua dekad.

“Selepas ini saya akan menjaga kualiti kerja saya dan menjaga gelaran Pelakon Wanita Terbaik ini dengan baik.

“Kejayaan ini juga saya kongsi bersama keluarga terutama ibu dan suami yang banyak menyokong kerjaya seni,” ujarnya yang mula berlakon sejak berusia sembilan tahun.

Dalam kategori tersebut, Sweet menewaskan Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu), Maya Karin (Telaga Suriram), Nabila Huda (Telaga Suriram), dan Sofia Jane (Mencari Ramlee).

Sementara kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula membuat kejutan apabila mengumumkan Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly sebagai pemenang.

Kedua-duanya memenangi kategori tersebut menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga.

Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula dibawa pulang bintang filem Telaga Suriram iaitu Ellie Suriaty.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

Malam penuh gemilang ini bertemakan Karya Kreatif, Sinema Dinamik ialah 41 filem cereka, 26 filem pendek, dan 23 filem dokumentari

Setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000 bersama trofi, manakala penerima Anugerah Khas membawa pulang RM10,000.

Festival yang meraikan pencapaian filem tempatan ini terus menjadi bukti perkembangan industri perfileman Malaysia ke arah kualiti dan inovasi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok