ENGGAN penonton salah faham, pelakon Sasha Abedul menjelaskan penggambaran filem seram Malam Terlarang dilakukan ketika dia belum berhijab.
Aktres yang mula bertudung pada pertengahan tahun lalu itu berkata, sejak memilih untuk bertudung dia sentiasa berdoa agar ditetapkan hati untuk menjaga aurat.
“Saya tidak bertudung dalam Malam Terlarang adalah kerana filem itu dihasilkan sebelum saya berhijrah iaitu Julai tahun lepas.
Jadi saya nak maklumkan kepada sesiapa yang menonton filem ini nanti bahawa saya bukannya buka tudung kerana dibikin sudah lama, satu tahun yang lalu.
“Hanya tahun ini Malam Terlarang masuk pawagam,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem tersebut, baru-baru ini.
Menyentuh pengalaman di lokasi, dia yang membawakan watak gadis berdepan gangguan ghaib, Mawar mendedahkan turut berdepan perkara misteri.
Kata Shasha, kejadian aneh mula berlaku pada hari pertama penggambaran yang dijalankan di kawasan paya bakau yang sunyi.
Apabila masuk tempat asing, kita kena faham lokasi itu turut ‘dihuni’ makhluk yang bukan daripada dunia kita. Jadi, memang banyak perkara pelik berlaku di set,” katanya.
Antara insiden paling diingati adalah apabila terdengar suara menyerupai pembantu pengarah memanggil namanya untuk bersiap di set namun individu tersebut menafikannya.
Paling biasa jadi, saya dengar orang panggil ‘Mawar standby on set’, tapi bila tanya semula, mereka kata tak ada pun bagi arahan tu.
“Kadang-kadang rasa macam ada orang dekat, tapi bila tengok sekeliling, tiada sesiapa,” ujarnya.
Selain Shasha, filem arahan Nurhanisham Muhammad yang dibintangi Zul Ariffin, Sofea Jane, Sabri Yunus, Hasnul Rahmat dan Sharifah Haneesya ditayangkan bermula 30 Oktober lalu. – HIBGLAM
