‘Ini trofi kedua’ -Tarmimi Siregar terima Anugerah Sepanjang zaman FFM

Pencapaian diiktiraf, pelakon senior Datuk Tarmimi Siregar diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di sini, hari ini.

Menurut Tarmimi, 75, beliau bersyukur dengan pengiktirafan tersebut sepanjang lebih lima dekad bergelar anak seni.

“Terima kasih kepada mentor saya, Datuk Rahim Razali, keluarga dan semua yang menyokong saya.

“Syukur diberikan kesihatan diberi kesempatan menerima pengiktirafan daripada Finas selepas 50 tahun berkecimpung dalam bindang ini.

“Kali terakhir anugerah saya terima pada tahun 1975 dan ini trofi kedua saya sepanjang bergelar anak seni,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Dalam masa sama, dia sempat berpesan kepada pelakon generasi baharu agar tidak pernah berhenti mencari ilmu sebagai anak seni.

“Jangan sesekali berhenti belajar.

“Majoriti mereka dapat pendidikan formal dalam bidang lakonan. Mereka beruntung berbanding zaman saya sebab tiada latihan formal,” ujarnya.

Tarmimi pada malam ini turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi.

Tahun lalu, pengiktirafan tersebut diberikan kepada pelakon senior, A. Galak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok