‘Ini semua rahsia Tuhan’ – Babah, Filem Terbaik FFM34

Menepati ramalan, filem yang mengangkat tema kekeluargaan, Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 sekali gus menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

Kemenangan tersebut sekali gus melenyapkan impian empat karya lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz Game of Life, Takluk: Lahad Datu dan Reversi menjadi Filem Terbaik FFM34.

Pengarahnya, Mohd. Shah Faizul Ibrahim berkata, kemenangan tersebut disifatkan sebagai satu penghargaan besar buat seluruh produksi filem Babah.

“Saya percaya kemenangan ini kerana keikhlasan semua yang bertungkus-lumus untuk Babah.

“Ini semua rahsia Tuhan,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang utama.

Selain Filem Terbaik, Babah turut membawa pulang trofi bagi kategori utama lain iaitu Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik.

Mohd. Shah Faizul turut diumumkan sebagai Pengarah Harapan sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM20,000.00 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Kategori Pengarah Terbaik pula menjadi milik sutradara filem Blood Brothers: Bara Naga iaitu Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra yang menerima RM5,000 beserta trofi.

Bagi kategori baharu, Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik yang menghargai tenaga kreatif di balik tabir pula menjadi milik Ubbaidillah Amirzan menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga.

Filem Blood Brothers: Bara Naga turut membawa pulang empat lagi anugerah lain iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Anugerah Khas filem Box Office.

Ganjaran kemenangan tersebut dinaikkan separuh daripada hadiah edisi tahun lalu tersebut merupakan antara strategi kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi insentif agar penerbit menghasilkan lebih banyak naskhah berkualiti.

Acara anjuran Finas tersebut mengangkat tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, festival tahun ini meraikan kepelbagaian pendekatan bercerita dan keberanian menjelajah sempadan seni visual.

Tema tersebut menurut penganjur, mencerminkan sinema sebagai cerminan denyut nadi masyarakat moden yang bergerak selari dengan teknologi dan realiti sosial semasa. – HIBGLAM

Senarai penuh pemenang FFM34

Filem Terbaik: Babah

Pengarah Terbaik: Syafiq Yusof & Abhilash Chandra (Blood Brothers: Bara Naga)

Pelakon Lelaki Terbaik: Qi Razali (Babah)

Pelakon Wanita Terbaik: Sweet Qismina (Babah)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly – Blood Brothers: Bara Naga

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty (Telaga Suriram)

Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council)

Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan (Tegkang)

Pengarah Harapan: Mohd Shah Faizul (Babah)

Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Puteri Rafasya (Telaga Suriram)

Lakon Layar Terbaik: Wan Rafiq (Babah)

Cerita Asal Terbaik: Nadia Nadzri (Babah)

Penyunting Terbaik: Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof (Soloz: Game of Life)

Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin (Blood Brothers: Bara Naga)

Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa – Azlan & The Typewriter (Blood Brothers: Bara Naga)

Skor Muzik Asal Terbaik: Megat Sazali & Ahmad Huzaini (Soloz: Game of Life)

Penataan Bunyi Terbaik: Mohsin Othman (Soloz: Game of Life)

Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh (Kulit Wayang)

Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Farah Syaliq (Mencari Ramlee)

Tatarias Terbaik: Ella Sandera (Takluk: Lahad Datu)

Kesan Khas Visual Terbaik: Jehcob & Sam (Soloz: Game of Life)

Aksi & Lagak Ngeri Terbaik: Ubbaidillah Amirzan (Blood Brothers: Bara Naga)

Poster Terbaik: Tegkang

Filem Pendek Terbaik: Saranghae (Rastech Worldwide Sdn. Bhd)

Filem Dokumentari Terbaik: Rindu Tak Berpenghujung

Anugerah Khas filem Box Office: Blood Brothers: Bara Naga

Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali The Movie 2

Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu

Anugerah Khas Karyawan: Hassan Muthalib

Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tarmimi Siregar

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok