ADA sesuatu yang tenang pada wajah Trisha Ooi setiap kali dia berbicara tentang hidup, kerja dan cinta.
Tatkala selebriti seangkatan sibuk memburu glamor dan kisah sensasi, si tinggi lampai itu tetap memilih jalan sederhana. Dia membina karier dengan disiplin tanpa tergelincir dalam lumpur kontroversi.
Enam tahun bergelumang sepak terajang dunia seni, nama Trisha tidak lagi asing malah sejak kemunculan awal, pesona lakonannya tidak pernah gagal memikat hati khalayak.
Dari skrin kecil hingga ke layar perak, dia membuktikan kredibiliti, pantas memanjat tangga versatil dan mampu menjiwai pelbagai karakter dengan cemerlang.
Usahanya membuahkan hasil apabila berjaya merangkul trofi Pelakon Wanita Harapan menerusi filem Janna Endoro pada malam gemilang Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), sekali gus menjadi saksi kepada kematangannya kerja lakonnya.
Jika diselak lembaran perjalanan kariernya, pemilik nama sebenar Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi itu termasuk antara selebriti wanita yang ‘bebas’ daripada gosip panas mahupun kontroversi murahan.
Sikap profesional dan fokus menjadikan namanya dihormati. Namun di sebalik kesibukan kerja dan set penggambaran tanpa henti, soalan nakal tentang soal cinta sesekali harus diselongkar dari hatinya.
Tersipu malu, wanita berusia 26 tahun itu tertawa kecil sebelum bertegas, buat masa ini tumpuan diberikan kepada karier dan ibunya, dua ‘aset’ itu keutamaan hidup.
Rahsia. Takutlah soalan ni. Buat masa sekarang, rahsialah. Alhamdulillah, belum lagi ada cinta.
“Sekarang fokus kerja saja. Masa terlalu singkat, jadi saya mahu gunakan peluang diberikan sebaik mungkin. Belum sampai waktunya lagi untuk fikir hal cinta.
“Apa yang saya tahu sekarang, emak nombor satu, kerja kedua dan jodoh dah jadi nombor tiga.
“Saya nak fokus pada kerja dan emak. Selagi belum dapat bahagiakan mak sepenuhnya, saya rasa belum bersedia nak fikir benda lain,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bintang filem Nar’sata: Sekutu Setan itu, keutamaannya terhadap ibu dan keluarga bukan semata-mata janji, tetapi satu nazar hidup.
“Perkara ini sudah menjadi janji saya dengan diri sendiri. Keluarga saya kecil saja, cuma saya, emak dan abang. Sekarang abang pun dah kahwin, jadi tinggal saya dengan emak.
“Emak saya tahu industri ini bagaimana, jadi bila dia izinkan saya bekerja dalam bidang ini pun sudah cukup bersyukur. Sebelum fikir jodoh, saya kena penuhi dulu impian emak. Itu yang utama,” ujarnya.
Trisha turut mengakui, keluarganya tidak pernah mendesak soal jodoh, malah memahami kesibukannya jadual lakonannya.
Dalam masa sama, Trisha tidak menolak takdir. Andai sudah sampai masanya, dia akan terbuka menerima cinta.
Semasa saya muda sikit, emak ada juga tanya soal jodoh. Tapi sekarang bila tengok saya makin sibuk, dia pun dah faham, tak tanya lagi.
“Saya belum ada perancangan untuk kahwin. Tapi kalau jodoh dah sampai, siapa saya untuk menolak, kan? Cuma buat masa ini, saya memang belum bersedia. Kita ikut perjalanan hidup ni perlahan-lahan saja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Trisha kini sibuk dengan drama terbaharunya berjudul Jika Cinta Itu Buta, bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Keith Foo, Uqasha Senrose dan Shah Jaszle.
