ENGGAN berehat daripada terus berkarya, penyanyi Aisha Retno mengakui kini memasang impian untuk menghadiahkan sebuah lagu khas buat penyanyi cilik, Amad.
Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, memaklumkan idea tersebut tercetus apabila melihat potensi besar dalam diri Amad yang disifatkan mempunyai kekuatan vokal seperti Judika.
Saya simpan impian nak buat lagu duet Amad bersama Umai sebab Amad ada vokal yang kuat macam Judika bagi saya.
“Mungkin suara dia tak pecah lagi tapi kalau dah pecah pun, saya pasti akan sedap.
“Tak tahu Amad dah tahu ke tak, ini sedikit hadiah daripada saya sebagai rakan industri. Semoga Amad dan Umai berkenan,” katanya kepada HibGlam.
Kongsinya lagi, dia sudah menyuarakan hasrat tersebut kepada ibu Amad iaitu Siti Saerah selain tidak sabar melihat penyanyi berusia 13 tahun itu melebarkan sayap dalam bidang nyanyian.
“Ibunya dah tahu sebab kami selalu jumpa macam keluarga dah. Bila borak dia ‘on’ (setuju) tapi nak dengar dulu.
“Kami masih profesional. Walaupun rapat kalau tak suka cakap tak suka, kalau suka cakap suka.
Saya nak sangat tengok Amad cepat-cepat ada single dan berkarya sebab dia ada potensi dan boleh jadi pelapis dalam industri kita,” kongsinya.
Tidak hanya itu, pelantun lagu Sutera itu turut berhasrat untuk mencipta lagu buat juara program Talk To My Manager (TTMM) buat Marya Q.
“Selain itu, saya tanam impian juga nak buat lagu untuk juara kita, Marsya Q.
“Misi saya tahun ini banyak cuba buat lagu untuk orang lain. Album fasa kedua saya pun dah siap sedia.
“Tunggu akan keluar album fizikal, insya-Allah dalam akhir tahun ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Aisha berjaya mencipta lagu Kesuma buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dimuatkan dalam album tradisional terbaharu berjudul Gema Bumantara.
Selain Kesuma, Aisha juga pernah mencipta lagu Raya Nak Ke Mana? buat Siti tahun ini bagi memeriahkan sambutan hari raya. – HIBGLAM
