PELAKON Bell Ngasri tidak menghalang guru mengenakan hukuman atau sebarang denda terhadap anaknya di sekolah namun dengan niat mendidik dan membentuk sahsiah diri.
Menurut Bell atau nama penuhnya Nasrizal Ngasri, 45, dia masih percaya bahawa hukuman sepatutnya dikenakan bagi memastikan disiplin pelajar terus terjaga.
“Saya okey kalau anak kena hukum dengan guru sebab semua itu untuk mendisiplinkan mereka tetapi biarlah tindakan yang sepatutnya.
“Bila anak saya ada melakukan kesalahan sebelum ini,tindakan dia yang agak kurang ajar ke apa, saya suruh cikgu itu pukul.
“Sebab saya tahu, apa yang dilakukan itu untuk mengajar dan jadikan budak itu lebih baik, apa salahnya,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup di sini, baru-baru ini.
Jelasnya, dia juga kecewa melihat pelajar zaman sekarang yang kurang rasa hormat terhadap guru.
“Bagi pendapat saya, hukuman seperti sebat atau terajang perlulah elak sebab saya sendiri tak setuju kalau begitu.
“Saya tidaklah minta hukuman rotan dikembalikan tetapi mungkin ada cara lain lebih efektif. Janganlah disebat macam banduan di penjara pula.
“Namun, hukuman yang sepatutnya dilakukan untuk memberi sedikit rasa takut, gerun dan paling penting rasa hormat terhadap guru,” katanya yang pernah dipukul guru pada bahagian tapak tangan ketika zaman persekolahannya.
Sebelum ini, kecoh dalam media sosial apabila ramaia golongan ibu bapa membahaskan mengenai hukuman rotan sama ada patut dikembalikan atau sebaliknya susulan peningkatan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah hari ini. -HIBGLAM
