247
TIDAK pernah mendedahkan kisah di sebalik perubahan diri, pelakon Kilafairy berkongsi pengalaman peribadi yang menginsafkan termasuk menerima mimpi tentang syurga dan neraka sehingga membuat keputusan menutup aurat.
Menurut pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, mimpi tersebut datang selepas berdoa agar ditunjukkan jalan untuk menjadi seorang Muslimah lebih baik.
“Selama bertahun-tahun, doa saya cuma satu, ‘Ya Allah, saya nak jadi Muslimah yang baik. Tunjukkan saya jalan dan takutkan saya’.
Malam itu, saya tidur dan bermimpi nampak setiap perincian tentang syurga dan neraka. Selepas terjaga, saya terus pesan (beli) tudung dan ambil selendang milik mama.
“Saya juga hubungi Neelofa, masa itu dia belum kahwin dengan Haris. Dia tanya nak ustaz terjemahkan mimpi, jadi saya jumpa Haris,” katanya dalam sebuah audio siar.
Lebih mengejutkan, anak kepada penyanyi Allahyarham Rohana Jalil itu berkata, setiap butiran dalam mimpi tersebut seakan-akan sama dengan apa yang tercatat dalam al-Quran dan hadis.
“Setiap perincian saya mimpi ada dalam hadis dan al-Quran. Contoh, saya boleh nampak urat tangan syaitan-syaitan ada lava.
“Suara macam petir, tinggi macam gunung. Sebelah sini tolak orang dalam gaung, sebelah sini tarik lidah potong.
“Saya nampak dan terfikir macam mana boleh dapat mimpi begini,” kongsinya.
Dalam masa sama, antara detik yang paling menyentuh hati apabila PU Riz menyatakan bahawa mimpi tersebut merupakan petanda untuk berubah dan satu rahmat daripada Allah.
“Bahagian yang seronok, ada satu manusia gelap macam Bilal (tukang azan). Masa tengah potong tangan, orang ini jejak di neraka, terus jadi sungai warna macam dalam hadis cakap fasal syurga.
“Saya dalam syurga, saya cakap kawan-kawan saya di sana (neraka). Dia cakap tak boleh, kena selamatkan seorang saja.
Saya beritahu Haris, dia cakap awak beruntung sebab awak akan berakhir di syurga. Ada harapan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Kilafairy berperang dengan perasaan yang terdetik untuk kembali tidak bertudung.
Pelakon filem Karak yang mula berhijab sejak 2020 itu juga mengakui baru memahami betapa sukarnya untuk kekal istiqamah. – HIBGLAM
