‘Buka aib bekas pasangan, sangat tak matang, tiada kelas’

PENYANYI Farahdhiya menyifatkan individu yang membuka dan menyebarkan aib bekas pasangan dalam media sosial sebagai manusia tidak matang.

Pemilik nama penuh Nur Farahdhiya Mohd Amin, 41, itu berkata, perkara tersebut dianggap tidak perlu dilakukan selepas berpisah dengan bekas pasangan.

“Antara benda paling ‘red flag’ dalam sesebuah hubungan adalah apabila lelaki atau wanita buka cerita dalam kain dan aib bekas pasangan kepada satu dunia.

“Sangat tidak matang dan tiada kelas,” katanya dalam platform Threads.

Dia juga mengakui hilang rasa hormat terhadap individu sebegitu selain bersimpati dengan nasib keluarga yang perlu berdepan dengan situasi tersebut.

“Kalian dapat apa bila buka aib bekas pasangan kepada orang ramai?

“Saya memang tidak ada rasa hormat kepada golongan ini, tiada rasa malu ke?

“Tak kasihan ke pada keluarga dan anak-anak? Pelik betul,” katanya lagi.

Tambahnya, setiap individu sepatutnya menjaga maruah sesama manusia sebelum perkara negatif mengenai diri sendiri terdedah kepada orang ramai.

“Akhirnya kalian akan nampak sangat terdesak dan keanak-anakan.

“Gunalah akal yang Tuhan beri dengan sebaik-baiknya.

Jangan lupa semua orang ada aib masing-masing. Jangan sampai aib awak pula yang terbuka,” ujarnya.

Pelantun lagu Bertahta Di Hati itu bagaimanapun tidak menyatakan nama mana-mana pihak dalam perkongsian tersebut.

Dia juga turut sokongan netizen yang bersetuju dengan pandangan tersebut selain meminta trend melondehkan aib bekas pasangan dihentikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok